Drama sensasi Thariq Ridzuwan: His Treasure bukan sekadar menarik hati peminat dengan jalan cerita penuh emosi serta lakonan mantap, tetapi kini hadir dengan pengalaman interaktif yang lebih dekat dengan penonton.
Diterajui pelakon hebat seperti Meerqeen, Qasrina Karim, Evertt Gomes, Noki K-Clique, Afiq Hamidon dan ramai lagi, drama ini mencetuskan fenomena luar biasa sehingga mencatat lebih 1 bilion tontonan di TikTok.
Janji 1 Minit – Detik Peribadi Bersama Pelakon Utama
Astro tampil dengan pengalaman unik yang pertama kali diadakan iaitu Janji 1 Minit. Bertempat di acara Hello Inilah KITA pada 23 Ogos 2025 di Pavilion Kuala Lumpur, seramai 15 peminat bertuah berpeluang bertemu secara one-on-one dengan pelakon utama drama fenomena ini.
Setiap peminat dapat meluangkan 60 saat penuh bersama pelakon kegemaran mereka termasuk Meerqeen, Qasrina Karim, Evertt Gomes dan Noki K-Clique. Walaupun singkat, ia cukup berharga untuk bertanya soalan, berkongsi rasa, atau sekadar menikmati detik rapat bersama idola mereka.
Lebih menarik, sesi ini diakhiri dengan laungan ikrar “JANJI!” bersama barisan pelakon – simbolik kepada tema drama yang penuh emosi serta hubungan erat antara karya tempatan dan peminat.

Janji Untuk Radwa – Game Interaktif Eksklusif
Selain sesi mesra, peminat juga boleh sertai permainan interaktif khas di laman janjiuntukradwa.astro.com.my. Dalam game ini, pemain mengambil watak Holy Dragon untuk menentang Farez demi menyelamatkan Radwa.
Walaupun mudah dimainkan, permainan ini memberi gambaran sebenar jalan cerita drama, menjadikan pengalaman menonton lebih hidup.
Bukan itu sahaja – apabila jumlah permainan dimainkan mencapai tahap tertentu, peminat akan bersama-sama membuka video istimewa yang eksklusif.
Selain itu, peminat juga boleh menulis surat khas kepada pelakon utama, terutama Holy Dragon, untuk menyampaikan sokongan, pandangan dan kata-kata semangat.

Lebih Dari Sekadar Drama
Thariq Ridzuwan: His Treasure merupakan adaptasi novel popular yang kini mencetuskan fenomena dengan kisah cinta, konflik dan rahsia yang penuh kejutan.
Dengan pendekatan kreatif seperti Janji 1 Minit dan game interaktif, drama ini bukan sahaja mengekalkan populariti, tetapi turut mencipta pengalaman menyeluruh untuk peminat – membuktikan Astro bukan sekadar menayangkan drama, malah menghadirkan pengalaman unik yang mendekatkan peminat dengan dunia drama kegemaran mereka.
Kini drama ini semakin hampir ke penghujung dengan hanya enam episod terakhir yang tinggal. Jangan lepaskan episod seterusnya setiap Rabu & Khamis, jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104) atau strim secara eksklusif di Astro GO dan sooka – Tehtariktimes