Tenaga Sepanjang Hari? Ini Sebab Nutrisi Tidak Boleh Diabaikan

Sama ada anda sedang bersedia untuk larian 10km pertama, berenang merentasi tasik, atau mengayuh sepanjang pesisir pantai, kejayaan anda bukan hanya terletak pada kekuatan fizikal. Apa yang anda berikan kepada tubuh anda dari nutrisi hinggalah ke waktu rehat memainkan peranan penting dalam menentukan sejauh mana anda boleh melangkah. Dalam dunia sukan dan kecergasan hari ini, pendekatan menyeluruh terhadap gaya hidup aktif menjadi semakin penting, dan ia bermula dengan pemahaman asas tentang keperluan tubuh anda.

Minat terhadap kecergasan kini melonjak di seluruh Asia. Festival maraton dan triatlon tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, dari Malaysia hingga ke Jepun. Lebih daripada sekadar mengejar trofi atau pingat, ramai kini menyertai acara ini demi kesihatan dan cabaran peribadi. Namun begitu, semangat sahaja tidak mencukupi jika tubuh tidak disokong dengan nutrisi dan hidrasi yang tepat. Tanpa asas yang kukuh, risiko kecederaan dan keletihan mudah menjejaskan semangat itu.

Tubuh anda adalah sistem kompleks yang memerlukan bahan api berkualiti. Karbohidrat berperanan sebagai tenaga segera, manakala protein membina otot dan mempercepatkan pemulihan. Lemak pula menyokong fungsi dalaman dan menyediakan tenaga berpanjangan. Setiap satu perlu diambil dalam jumlah yang seimbang mengikut tahap aktiviti dan matlamat kecergasan anda. Sebagai contoh, individu yang aktif secara intensif memerlukan lebih banyak karbohidrat dan protein daripada mereka yang hanya aktif pada hujung minggu.

Tidak cukup dengan memilih makanan yang tepat, masa pengambilan juga memainkan peranan. Makanan sebelum senaman membantu tubuh bersedia untuk prestasi maksimum, manakala pengambilan selepas senaman menyokong pemulihan otot. Snek yang tinggi karbohidrat dan rendah serat sesuai diambil 30 minit sebelum senaman, manakala protein dan karbohidrat perlu diambil dalam masa sejam selepas tamat aktiviti. Disiplin ini membantu anda kekal bertenaga dan mengurangkan keletihan selepas bersenam.

Air semata-mata tidak cukup, terutamanya dalam cuaca panas Malaysia. Senaman yang berpanjangan menyebabkan kehilangan elektrolit seperti sodium dan potassium. Minuman elektrolit sangat penting untuk menggantikan apa yang hilang melalui peluh. Bagi sesi senaman melebihi 60 minit, glukosa tambahan juga penting bagi mengekalkan paras tenaga yang stabil dan mengelakkan kekejangan otot yang boleh mengganggu prestasi.

Satu aspek penting yang sering dipandang ringan ialah rehat dan pemulihan. Tubuh membina semula tisu dan memperkukuh kekuatan ketika anda tidur dan berehat. Tidur yang berkualiti selama 7 hingga 9 jam setiap malam serta satu hari rehat seminggu dapat mempercepatkan pemulihan otot, menstabilkan hormon, dan membantu tubuh kembali bersedia untuk cabaran seterusnya. Tanpa rehat, risiko kecederaan meningkat dan prestasi anda akan merosot.

Meskipun setiap individu mempunyai tahap dan matlamat yang berbeza, keperluan asas untuk prestasi optimum adalah sama nutrisi seimbang, penghidratan yang cukup, dan rehat berkualiti. Ini bukan soal mengikuti diet ekstrem, tetapi membina tabiat harian yang konsisten. Bila anda faham apa yang tubuh anda perlukan, anda akan lebih bersedia untuk menolak had anda ke tahap yang lebih tinggi.

Di Herbalife, kami menyokong gaya hidup aktif dan seimbang dengan menyediakan nutrisi yang terbukti secara saintifik. Kami percaya, dengan ilmu dan amalan yang tepat, sesiapa pun mampu mencapai versi terbaik diri mereka. Jadi, mulakan hari anda dengan pilihan yang bijak kerana tenaga hebat bermula dari dalam. –Tehtariktimes