Kehilangan kanak-kanak sering kali menjadi perhatian masyarakat. Walaupun banyak kes berjaya diselesaikan pihak berkuasa, masih ada yang kekal misteri dan itulah yang menjadi inspirasi utama kepada filem Telaga Suriram, arahan pengarah tersohor, Osman Ali.
Diterbitkan oleh Odissi Creative Sdn. Bhd. dengan kerjasama Nuansa Films, Telaga Suriram membawa penonton menyelami sebuah kisah mistik yang diinspirasikan daripada cerita lama mengenai seorang kanak-kanak yang dipercayai terjatuh ke dalam sebuah telaga berhantu.

Osman Ali berkata pihaknya mahu menghasilkan sebuah karya yang menggabungkan kepercayaan lama bersama elemen dramatik yang kuat. Katanya, filem ini bukan sekadar filem seram biasa, sebaliknya turut mencerminkan kepercayaan masyarakat terhadap mitos yang diwarisi sejak turun-temurun.
Mengangkat watak seorang kanak-kanak bernama Suriram yang kehilangan dirinya mencetus tanda tanya seluruh kampung, filem ini menjanjikan kelainan dari segi naratif dan pengalaman sinematik. Lebih menarik, ia turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Maya Karin, Scha Alyahya, Farid Kamil, Ellie Suriaty dan pelakon cilik berbakat, Puteri Rafasya.

Menurut Osman, penggambaran filem yang dilakukan di beberapa kawasan kampung tradisional di Perlis, Kedah dan Perak selama 45 hari turut mencetus pengalaman menyeramkan apabila beberapa kru mendakwa terdengar suara misteri dan terlihat kelibat aneh.
Bagi penerbit Yus Yusop, filem ini lahir daripada minat mendalam terhadap cerita rakyat dan unsur sejarah yang kaya dengan budaya tempatan. Beliau turut berkongsi bahawa pembikinan Telaga Suriram memakan masa tiga tahun bermula sejak tahun 2022, melibatkan proses skrip hingga pasca produksi yang teliti.

Telaga Suriram dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 1 Mei 2025. Bukan sekadar untuk peminat filem seram, karya ini juga ditujukan buat mereka yang menghargai seni penceritaan budaya tempatan.