Rahsia lama yang kembali menghantui serta cinta yang tidak kesampaian menjadi konflik utama dalam drama bersiri terbaharu TV3, Takdir Cinta Terlarang, arahan Idora Abdul Rahman. Menampilkan 28 episod penuh emosi, drama bergenre cinta, keluarga dan dendam ini mengetengahkan kisah pengkhianatan serta permainan perasaan yang menguji sebuah keluarga.
Membariskan pelakon hebat seperti Jazmy Juma, Shaza Bae, Norish Karman dan Tony Eusoff, drama ini bakal menemui penonton bermula 23 September 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3, serta boleh distrim secara percuma di aplikasi iQIYI pada jam 8.00 malam.
Takdir Cinta Terlarang mengisahkan keluarga Kamarul (Tony Eusoff) dan Hatiqah (Norish Karman) yang telah berumah tangga selama 28 tahun serta dikurniakan tiga cahaya mata. Kehidupan mereka mula bergolak apabila Kamarul membuat keputusan mengejut untuk berkahwin dengan Sarah (Shaza Bae), bekas kekasih kepada anak sulungnya, Adham (Jazmy Juma).
Pertemuan semula Adham dan Sarah membongkar luka lama yang masih bersisa. Adham, yang pernah meninggalkan Sarah ketika mereka sama-sama menuntut di Australia, kini bertekad membalas dendam. Dalam usaha memisahkan Sarah daripada ayahnya, Kamarul, Adham terjebak dalam hubungan terlarang yang akhirnya mengundang kekacauan besar dalam keluarga.
Menurut Jazmy Juma, watak Adham menjadi antara cabaran terbesar dalam kerjayanya. “Saya perlu menggalas emosi yang bercampur-campur – cinta, dendam, maruah dan konflik keluarga. Watak ini memerlukan keseimbangan antara seorang anak, seorang lelaki yang terluka serta seorang kekasih yang bergelut dengan perasaan. Ia benar-benar menguji kemampuan lakonan saya,” jelasnya.
Selain sarat dengan konflik emosi, drama ini turut mengetengahkan realiti rumah tangga masa kini – bahawa cinta dan kepercayaan sering diuji oleh pengkhianatan dan dendam. Hanya mereka yang berani menghadapi kebenaran mampu menemui ketenangan.
Bagi penonton setia iQIYI, episod baharu boleh distrim secara ekspres bermula jam 8.00 malam pada hari tayangan, manakala penonton percuma boleh menikmatinya 48 jam kemudian. Aplikasi iQIYI boleh dimuat turun melalui App Store atau Play Store.
Sejak dilancarkan di Malaysia pada 2020, iQIYI telah mencatat pertumbuhan pesat dengan peningkatan pengguna lebih 15 kali ganda. Pada 2021, ia turut diiktiraf sebagai platform penstriman Asia nombor satu di Malaysia dari segi jumlah muat turun, pengguna aktif bulanan dan masa tontonan.
Untuk perkembangan terkini mengenai drama kegemaran anda, ikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram @dramasangat.