Apa jadinya apabila dua insan dari dunia berbeza disatukan dalam sebuah ikatan perkahwinan? Itulah yang cuba disampaikan dalam drama komedi ringan Selamat Pengantin Haru! yang bakal menghiasi slot Akasia di TV3 bermula 9 Julai 2025, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam.
Disajikan dalam gaya mockumentary sitkom, drama 13 episod terbitan Zeel Production Sdn Bhd dan arahan Kyoll Hamzah ini menampilkan kisah lucu dan menyentuh hati pasangan Amelie (lakonan Janna Nick), seorang wanita moden, dan Bazlee (Dini Schatzmann), lelaki kampung yang rapat dengan keluarganya. Perbezaan budaya, campur tangan ahli keluarga, dan cinta lama yang belum padam menguji kesabaran mereka sebagai suami isteri baharu.
Menambah kekecohan ialah kemunculan Syafiqa, sepupu jauh yang masih menyimpan hati terhadap Bazlee, serta adik-beradik Bazlee yang tidak mahu berpisah darinya. Semua ini membuatkan Amelie terpaksa menyesuaikan diri dalam suasana luar jangkaan yang penuh warna-warni.
Drama ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Malia Baby, Dato Tamimi Siregar, dan Serena Redzuawan yang menghidupkan watak dengan penuh karakter dan gaya tersendiri. Menurut Janna Nick, projek ini memberi peluang untuk menonjolkan sisi berbeza dalam lakonan, apatah lagi bergandingan bersama suaminya dalam genre komedi ringan buat pertama kali.
“Walaupun drama ini santai, tapi mesejnya kuat dan dekat dengan realiti rumah tangga hari ini. Cabarannya adalah untuk menjadikan babak ‘bertekak manja’ nampak semula jadi dan tak dibuat-buat,” katanya.
Jangan lepaskan peluang untuk menikmati gelora dan gelak tawa Selamat Pengantin Haru!, bermula 9 Julai ini di slot Akasia TV3. Strim episod 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store. Ikuti perkembangan terkini di media sosial rasmi TV3 Malaysia dan @dramasangat di Instagram. – Tehtariktimes