Siti Saleha Arah Telefilem Pertama!

Kuala Lumpur, 2 Julai 2025 – Rentak Dua Hati, telefilem sulung arahan Siti Saleha, bakal ditayangkan Sabtu ini di slot Cerekarama TV3. Mengangkat kisah cinta rentas bangsa dan dilema identiti, karya ini membuka tirai projek khas Dari Layar Ke Lensa sempena ulang tahun ke-41 TV3.

Telefilem ini mengisahkan Adila (lakonan Auni Yusri), seorang peguam junior berhijab yang hidup dengan dua identiti pekerjaan siang sebagai peguam dan malam sebagai DJ. Hidupnya berubah apabila jatuh cinta dengan Fabian (Zhen Ning), lelaki Cina yang keluarganya tidak merestui hubungan mereka. Konflik memuncak apabila identitinya terbongkar, memaksa Adila memilih antara cinta, prinsip hidup dan minatnya.

Menurut Siti Saleha, karya ini lahir daripada hatinya sendiri dan mencerminkan cabaran wanita yang berdepan tekanan hidup. “Saya harap cerita ni beri inspirasi untuk berani jadi diri sendiri,” katanya. Auni Yusri pula menganggap peluang membintangi naskhah ini sebagai pengalaman yang berharga, lebih-lebih lagi di bawah tunjuk ajar Siti Saleha. Turut membintangi ialah Khatijah Tan dan Zhen Ning. Rentak Dua Hati menjanjikan kisah menyentuh perasaan dan realistik yang sarat dengan emosi.

Projek Dari Layar Ke Lensa turut menampilkan tiga lagi telefilem arahan bintang popular: Noktah Dosa (Fattah Amin – 12 Julai), Susu Lima Kupang (Janna Nick – 19 Julai), dan Pencuri Rumah Imam (Zahiril Adzim – 26 Julai), ditayangkan setiap Sabtu jam 10 malam di TV3. Untuk info lanjut, ikuti @TV3Malaysia dan @dramasangat di media sosial. – Tehtariktimes