“Itoshi – Hito” yang membawa maksud Rinduku merupakan sebuah lagu terbaharu dalam bahasa Jepun nyanyian penyanyi Melayu, Shazia Rozaini. Lagu ini merupakan hasil ciptaan komposer dan pelawak terkenal dari kumpulan Senario, Illya Buang atau lebih dikenali sebagai Pakya Senario.
Lagu ini mengisahkan seorang gadis Melayu yang memendam perasaan rindu terhadap seorang jejaka di Jepun. Namun, perasaan cintanya tidak pernah diluahkan. Tanpa kepastian, dia hanya mengandaikan jejaka tersebut turut menyimpan perasaan yang sama, lalu persoalan itu terus bermain di fikirannya dalam diam.

Menurut Shazia Rozaini, “Itoshi – Hito membawa makna yang sangat romantik dalam bahasa Jepun. Lagu ini mengaspirasikan kerinduan saya terhadap seni nyanyian yang pada asalnya membawa saya ke dalam dunia seni. Apabila komposer Pakya memberikan lagu ini kepada saya untuk dinyanyikan, saya berasa sangat gembira, apatah lagi lagu ini turut menggambarkan keindahan negara Jepun.”
Sebelum ini, Shazia pernah melancarkan beberapa single nyanyiannya dan kini aktif sebagai pelakon yang membintangi pelbagai drama serta telefilem terbitan TV3, Astro dan RTM. Beliau juga merupakan antara pelakon yang terlibat dalam teater muzikal Masmoona bersama barisan pelakon lain termasuk Nabila Huda baru-baru ini.
Pakya Senario turut berkongsi bahawa beliau sering mendengar lagu-lagu era 1970-an yang banyak diilhamkan oleh pengkarya Jepun dan mendapati iramanya sangat sesuai dengan cita rasa pendengar Melayu. Justeru, tercetus idea untuk menghasilkan sebuah lagu berbahasa Jepun sebagai sajian baharu buat halwa telinga pendengar tempatan.
Tambah Pakya lagi, Shazia mempunyai bakat besar dalam bidang nyanyian. Beliau mengenali Shazia menerusi rancangan Sepahtu Reunion dan seterusnya tertarik untuk menghasilkan single terbaharu buat penyanyi tersebut. Lagu “Itoshi – Hito” ini dianggap sebagai satu langkah penting dalam menampilkan serta mengembangkan perjalanan seni Shazia dalam industri muzik tanah air.

Dengan adunan melodi yang sentimental, pengaruh budaya Jepun dan penceritaan yang halus, “Itoshi – Hito” memberikan pengalaman emosional kepada para pendengar. Sentuhan rasa rindu yang mendalam menjadikan lagu ini sebuah karya yang istimewa dan menyentuh perasaan.
Luncai Emas menyokong sepenuhnya usaha Pakya selaku komposer eksklusif di bawah naungan syarikat tersebut dalam menerbitkan lagu berbahasa Jepun ini. Inisiatif ini dilihat sebagai satu peluang untuk karya tempatan menembusi pasaran luar Malaysia serta menyemarakkan lagi perkembangan industri muzik.
Pengedaran digital serta pengurusan hak cipta lagu “Itoshi – Hito” nyanyian Shazia Rozaini ditadbir oleh Luncai Emas. Lagu ini boleh didengari sepenuhnya di platform digital seperti Spotify, Apple Music dan iTunes, manakala video muzik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas.
Diharapkan rilisan terbaharu berbahasa Jepun ciptaan Pakya Senario ini dapat menarik perhatian media serta dinikmati oleh para pendengar dari pelbagai lapisan.
Bunyi Yang Dilihat: Sumber Dokumentasi Budaya Ilmu.
Sekian, terima kasih.