‘Setia’ Versi Fian Ali, Dua Rasa Cinta Dalam Satu Lagu

Penyanyi muda berbakat, Fian Ali, kini kembali dengan karya terbaharu berjudul Setia, sebuah balada penuh emosi yang pastinya menggetarkan hati pendengar. Lagu ini merupakan hasil ciptaan Amir Jahari, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-38, dengan lirik ditulis bersama Datuk Ayu Puteh. Menariknya, Setia bukan sahaja dipilih sebagai runut bunyi (OST) untuk drama bersiri Bukan Sekadar Lafaz 2 di TV3, tetapi hadir dalam dua versi yang berbeza versi perlahan yang mendalamkan emosi, dan versi rancak yang memberikan kelainan dan jiwa tersendiri.

Lagu ini mengangkat tema pengorbanan dan kesetiaan tanpa syarat, walaupun diuji dengan pelbagai cabaran. Bagi Fian, Setia lebih daripada sekadar lagu sedih. “Sedih tak semestinya menangis, kan? Lagu ni lebih real,” ujar Fian, yang menganggap lagu ini sebagai lambang kekuatan jiwa yang tetap teguh walaupun terluka.

Namun, proses penghasilan Setia bukanlah tanpa cabaran. Fian mendedahkan bahawa sesi rakaman terpaksa ditangguhkan pada percubaan pertama kerana masalah kesihatan. “Amir pesan, suara tak semestinya kena perfect. Kalau dah ada rasa, itu yang penting. Baru sedap dan sampai,” jelas Fian, yang amat menghargai pengalaman bekerjasama dengan Amir Jahari. “Dia sabar, kreatif dan banyak beri panduan serta nasihat. Saya banyak belajar daripada dia.”

Amir Jahari pula mengakui bahawa lagu ini memang direka khas untuk Fian Ali. “Saya nampak dia sebagai seorang yang sopan, beradab dan tegas. Lagu ni memang ‘tailor-made’ untuk dia. Bila dengar suara dia, saya terus rasa lagu ni mesti ada dua versi,” kata Amir yang mendapat ilham semasa berada di Yogyakarta, Indonesia.

Sebagai antara bakat muda yang semakin menyerlah dalam industri hiburan tanah air, Setia dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh portfolio muzik Fian Ali. Lagu ini kini boleh didengari di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Dua versi, dua rasa, satu cerita, tentang cinta yang ikhlas, cinta yang bertahan, dan cinta yang setia.

Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.