Sentuhan Prihatin: YAYASAN MR D.I.Y. & Food4u Santuni Gelandangan dengan Pek Makanan

YAYASAN MR D.I.Y. dan Food4u Hulur Pek Makanan Buat Gelandangan Sempena Raya Penuh Makna

Prihatin terhadap nasib komuniti yang terpinggir, YAYASAN MR D.I.Y. telah berganding bahu bersama Food4u dalam menjayakan inisiatif pengagihan pek makanan kepada gelandangan di dua lokasi sekitar Kuala Lumpur. Usaha ini sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena kempen “Raya Penuh Makna” oleh MR D.I.Y., dengan matlamat untuk berkongsi keceriaan Aidilfitri bersama semua lapisan masyarakat.

Program ini memberi tumpuan kepada golongan gelandangan yang sering menghadapi kesukaran mendapatkan makanan berkhasiat dan mencukupi. Pada 25 Mac 2025, agihan pertama telah dijalankan di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, diikuti dengan agihan kedua pada 27 Mac 2025 di kawasan Jalan Sayur, Pudu.

Sebanyak 600 pek makanan telah diagihkan, mengandungi nasi biryani, biskut krim, roti, dan air mineral – sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang kepada mereka yang memerlukan.

Menurut wakil Food4u, Encik Tony, “Kami amat menghargai kerjasama bersama YAYASAN MR D.I.Y. dalam menyampaikan bantuan ini. Harapan kami, inisiatif ini mampu menyuntik semangat dan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk terus membantu mereka yang kurang bernasib baik.”

Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan kedua-dua pihak dalam menyemai nilai kemanusiaan, menyebarkan rasa prihatin tanpa mengira latar belakang, serta menggalakkan amalan berkongsi rezeki dalam suasana penuh kasih sayang dan hormat.

YAYASAN MR D.I.Y. juga menyeru lebih banyak pihak agar turut serta dalam usaha memperkasa komuniti. Melalui kerjasama dan semangat kesukarelawanan, lebih banyak perubahan positif dapat dicapai.

Selain pengagihan makanan kepada gelandangan, kempen “Raya Penuh Makna” turut menampilkan pelbagai aktiviti lain seperti program bersama rumah kebajikan, aktiviti sukarelawan dan projek komuniti. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi mrdiy.com.my atau ikuti MR D.I.Y. di Facebook, Instagram, dan TikTok.