
Penyanyi Fajar Noor kembali menghangatkan dunia muzik menerusi pelancaran album sulung berjudul Sementara, Selamanya, sebuah karya yang disifatkan paling dekat dengan perjalanan hidup dan emosinya sepanjang bergelar anak seni.
Album ini mengetengahkan perjalanan lengkap sebuah percintaan, bermula daripada detik pertama jatuh cinta, melalui pelbagai ujian dalam hubungan, berdepan kehilangan, patah hati, sehinggalah kepada perasaan yang masih tersisa walaupun hubungan tersebut sudah berakhir.
Menurut Fajar, album berkenaan membawa tema kitaran cinta yang menggambarkan pengalaman emosi yang sering dilalui ramai, namun dipersembahkan daripada sudut pandang dan kisah peribadinya sendiri. Setiap lagu menyentuh pelbagai perasaan seperti penyesalan, kerinduan serta kata-kata yang tidak pernah sempat diluahkan.

Dari segi susunan muzik, Fajar bekerjasama dengan penerbit terkenal Arsy Widianto dan Iqbal Siregar bagi menghasilkan karya pop balada moden yang ringkas tetapi sarat dengan emosi. Gabungan melodi yang menyentuh hati bersama susunan muzik yang kemas menjadikan setiap lagu mudah dihayati oleh pendengar.
Fajar berkata, album ini merupakan cabaran terbesar buat dirinya kerana setiap lagu lahir daripada pengalaman sebenar yang pernah dilaluinya. “Cabaran terbesar adalah untuk jujur dengan diri sendiri. Banyak lagu dalam album ini datang daripada pengalaman dan emosi yang sangat dekat dengan saya. Saya harap setiap lagu bukan sahaja mewakili kisah saya, tetapi juga dapat dirasai oleh sesiapa yang pernah melalui fasa cinta, kehilangan dan penyesalan,” katanya.
Dalam sesi temu bual secara langsung bersama ERA Sabah, ERA Sarawak dan Gempak di TikTok, Fajar turut mengumumkan beliau bakal berkunjung ke Malaysia bagi mempromosikan album sulung tersebut. Lebih mengujakan, beliau juga akan mengadakan persembahan album secara langsung untuk memberi peluang kepada peminat tempatan menikmati lagu-lagu baharunya secara lebih dekat.
Maklumat lanjut mengenai tarikh dan lokasi persembahan akan diumumkan menerusi saluran media sosial rasmi Fajar Noor serta Universal Music Malaysia. Album Sementara, Selamanya kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.








