Kota Kinabalu Bakal Dibanjiri Irama Cinta: Festival Muzik Terbesar Tahun Ini! Dua nama besar dalam industri muzik Indonesia, Andmesh Kamaleng dan Ziva Magnolya, bakal menggamatkan pentas Sabah International Convention Centre (SICC) pada 9 Ogos 2025 dalam Festival Tentang Cinta, sebuah konsert mega anjuran Extreme Visionary Venture yang menghimpunkan artis serantau dari Malaysia dan Indonesia.
Konsert berskala besar ini dijangka menjadi antara acara muzik terbesar di Sabah tahun ini, menampilkan barisan artis popular seperti Ara Johari, Adira Suhaimi, Hael Husaini dan bintang dari Filipina, Mary Grace. Setiap artis akan mempersembahkan lagu-lagu bertemakan cinta yang pasti mengusik emosi dan menghiburkan para penonton.
Pengarah Urusan Extreme Visionary Venture, Julianah Ishak, menyatakan bahawa konsert ini bukan sahaja sebagai hiburan, malah satu usaha menyatukan peminat serantau melalui irama dan lirik.
“Festival Tentang Cinta adalah platform untuk menghubungkan dua negara serumpun melalui seni dan muzik. Kami berharap ia mendapat sambutan hangat daripada warga Sabah dan seluruh Malaysia Timur. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan acara ini,” katanya.

Ziva Magnolya, yang akan membuat penampilan sulungnya di Kota Kinabalu, mengakui teruja untuk bertemu peminat Malaysia buat kali pertama.
“Saya sangat menghargai peluang ini dan tidak sabar untuk bertemu langsung dengan peminat Sabah. Jangan lupa datang dan saksikan kami di SICC,” kata Ziva penuh semangat.
Sementara itu, Andmesh Kamaleng, yang kembali ke Sabah untuk kali kedua, melihat festival ini sebagai medan menyemai semangat kekeluargaan menerusi muzik.
“Festival ini bukan sekadar hiburan – ia adalah pengalaman bersama. Kami janji akan beri persembahan terbaik!” katanya.
Festival Tentang Cinta turut mendapat sokongan padu dari Tourism Malaysia, selari dengan inisiatif memperkasa sektor pelancongan domestik menerusi penganjuran acara bertaraf antarabangsa di negeri Sabah.
Tiket konsert kini boleh dibeli secara dalam talian menerusi www.ticket2u.com.my dengan harga bermula dari RM158 (Silver), RM288 (Gold), RM488 (VIP), hingga RM988 (VVIP). -Tehtariktimes