KUALA LUMPUR (11 Mei 2025) – Tumor otak sukar dikesan awal kerana simptomnya seperti sakit kepala berulang, perubahan mood, dan masalah fokus sering disalah anggap sebagai gejala biasa. Walaupun jarang berlaku, ia boleh membawa maut jika tidak dirawat awal. Di Malaysia, 1.6% kes kanser baharu pada 2020 melibatkan otak, dan globalnya lebih 300,000 kes dilaporkan pada 2022.
Dr Mah Jon Kooi dari Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) berkata ramai pesakit hanya dikesan pada tahap akhir kerana simptomnya berbeza mengikut lokasi tumor dan sering dikaitkan dengan penuaan. Oleh itu, penting untuk peka terhadap perubahan neurologi, tanpa mengira usia.

Jenis dan Simptom Tumor Otak
Tumor otak boleh jadi benigna (bukan kanser) atau malignan (kanser), dan terbahagi kepada primer (berasal dari otak) atau sekunder (berpunca dari kanser organ lain). Menurut Dr Gerard Arvind Martin, tumor sekunder lima hingga sepuluh kali lebih biasa. Simptom termasuk sakit kepala, loya, gangguan penglihatan, masalah pertuturan dan ingatan, ketidakseimbangan, serta perubahan tingkah laku bergantung kepada lokasi tumor.

Contohnya, tumor di lobus frontal boleh ganggu personaliti dan pertuturan, manakala tumor di lobus temporal boleh jejaskan memori dan bahasa. Hampir separuh pesakit alami gangguan ingatan. Diagnosis biasanya dilakukan melalui imbasan CT atau MRI.
Punca dan Risiko
Tumor sekunder biasanya berpunca dari kanser seperti paru-paru, payudara, kolon dan melanoma yang merebak ke otak. 40% pesakit kanser paru-paru akan alami tumor otak sekunder. Punca utama tidak selalu jelas, tetapi genetik dan gaya hidup berperanan dalam meningkatkan risiko.
Rawatan Tumor Otak
Pembedahan seperti craniotomy (termasuk awake craniotomy) kekal sebagai rawatan utama untuk membuang tumor. Radiosurgeri digunakan bagi tumor kecil atau sukar dicapai, manakala kaedah endoskopi melalui hidung digunakan untuk tumor di kawasan pituitari. Teknik ini lebih tepat, kurang invasif dan mempercepatkan pemulihan. Di SMCV, prosedur ventrikulostomi juga berjaya digunakan untuk pesakit tumor sekunder yang menekan aliran cecair otak.
Simptom mungkin kelihatan biasa, tetapi pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa. Dengan teknologi rawatan terkini, pesakit kini berpeluang pulih dan hidup berkualiti semula. Diagnosis bukan penamat ia permulaan untuk rawatan yang betul dengan sokongan pakar dan keluarga.
Untuk maklumat lanjut, hubungi +603 9772 9191 atau emel ke smcv-enquiry@sunway.com.my. Layari www.sunmedvelocity.com.my atau Facebook: Sunway Medical Centre. – Tehtariktimes