Republic Mokhmah Records membuka tirai penganjuran tahun 2026 dengan sebuah persembahan istimewa yang menggabungkan dua pemuzik hebat tanah air menerusi “Rockolusi Kuasa Dua: Kristal X & Azlan & The Typewriter”, yang akan berlangsung pada 1 Februari 2026 di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert ini menjadi pentas penuh nostalgia buat peminat Kristal X yang merindui lagu-lagu malar segar mereka seperti Memburu Impian, Luahan Hati, Suatu Kenangan dan Seragam Hitam, karya yang sudah lama tidak dipersembahkan secara langsung. Pada masa yang sama, peminat Azlan & The Typewriter berpeluang menyaksikan sendiri kehebatan vokal lantang Azlan yang pernah mencetus fenomena melalui lagu Jangan Khianati Aku, yang juga mendapat sambutan hangat hingga ke Indonesia.
Menurut Encik Musa dari Republic Mokhmah Records, penganjuran konsert ini adalah usaha untuk mengembalikan semarak karya dua nama besar yang masih relevan dalam industri muzik tempatan. “Kristal X sudah dianggap legenda sejak awal penubuhannya, dengan lagu-lagu ikonik yang terus hidup sehingga kini. Lebih mengujakan, Azlan yang dikenali sebagai salah seorang vokalis terbaik negara turut bersama berkongsi pentas. Inilah gabungan generasi yang membuktikan muzik mereka tetap segar dan tidak pernah dilupakan,” katanya.

Azlan pula menyatakan keterujaannya untuk tampil bersama Kristal X dalam konsert ini. “Saya amat berbesar hati menerima lamaran ini kerana Kristal X adalah nama yang saya hormati dan membesar bersama karya mereka. Kini, tiba masanya peminat menyaksikan sendiri kami ‘hidup’ di pentas yang sama. Ini adalah momen eksklusif selepas sekian lama menanti,” ujarnya.
Konsert Rockolusi Kuasa Dua bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi sebuah bukti bahawa industri tanah air masih mempunyai pemuzik yang relevan dan terus menyumbang karya berkualiti. Dengan sokongan peminat, konsert ini bakal melakar sejarah tersendiri sebagai antara persembahan paling berkesan pada tahun 2026.
Tiket konsert telah mula dijual sejak 23 September lalu bermula pada harga RM168, RM188, RM248, RM348 dan pakej Royal Box RM8000 untuk 10 orang. Pembelian tiket boleh dibuat di www.ilassotickets.com.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Kristal X dan Azlan & The Typewriter menggegarkan Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari 2026, jam 8 malam.