Ribuan Peserta Sertai Lotus’s Ceria Charity Run, Kutip RM400K untuk Pendidikan

Pada hari Ahad yang lalu, Lotus Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Lotus’s Malaysia) telah berjaya menghimpunkan lebih daripada 4,000 peserta dan 120 jenama dalam acara Ceria Charity Run yang kedua.

Melalui kerjasama yang mantap dengan rakan-rakan perniagaan dan penyertaan aktif daripada peserta, Ceria Charity Run 2024 ini telah mengumpulkan RM400,000 dalam bentuk tunai untuk disalurkan kepada sekolah-sekolah yang kurang mendapat perhatian. Selain itu, sumbangan dalam bentuk barangan bernilai RM2,300,000 juga diterima daripada rakan kongsi, menjadikan inisiatif ini sangat bermakna.

Dengan kerjasama Yayasan PINTAR, dana yang terkumpul akan digunakan untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran di sekolah-sekolah yang memerlukan. Inisiatif ini di bawah fokus pendidikan #KitakanJiran bertujuan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif di seluruh negara. Sebagai contoh, dana RM150,000 yang dikumpul pada Ceria Charity Run tahun lalu telah berjaya digunakan untuk menaik taraf makmal komputer dan membaik pulih makmal reka bentuk di SK Methodist ACS Seremban, serta menggantikan perabot yang rosak di SK Pandan Jaya.

Lotus

“Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua peserta dan rakan niaga yang telah menyokong acara ini. Kami merasa terharu dengan sokongan yang kuat daripada komuniti yang berusaha mengatasi halangan dalam pembelajaran, sambil mempromosikan gaya hidup sihat,” ujar Saksit Panurach, Ketua Pegawai Eksekutif Lotus’s Malaysia.

“Keberhasilan kutipan derma Ceria Charity Run 2024 adalah luar biasa, dan ia membolehkan kami untuk menggandakan usaha dalam mencipta ruang pembelajaran yang lebih ceria dan produktif untuk para pelajar dan guru.”

Lotus’s Ceria Charity Run 2024 menawarkan kategori larian tidak kompetitif seperti 15km, 10km, dan 5km. Acara ini juga menampilkan konsep unik ‘Lari & Kutip’, di mana peserta diberi beg guna semula untuk mengumpul goodies sepanjang laluan sebelum menerima medal dan dua beg goodies tambahan di garisan penamat. Setiap peserta pulang dengan baucar diskaun RM400 dan goodie bag yang mengandungi produk bernilai lebih RM150.

Hadiah menarik untuk cabutan bertuah juga menanti peserta, dengan Anthony Sia membawa pulang kerusi urut uSmarto bernilai RM9,999, sementara Mohd Salleh Mohd Arif dan Tham Xin Li masing-masing memenangi treadmill dan basikal spinning bernilai RM4,588 dan RM2,988. Selain itu, barangan cabutan bertuah lain seperti beg beras, bantal perjalanan, dan jam tangan berjenama turut diberikan.

Peserta juga dapat menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti permainan interaktif, bouncy castles, serta bertemu watak animasi tempatan seperti BoBoiBoy dan Cookie Guy dari Mondelez. Mereka juga berpeluang mencuba produk-produk daripada SME tempatan dan jenama nasional terkemuka seperti Milo, Nescafe, dan Nestle Ice Cream. Tambahan pula, saringan kesihatan dan pemeriksaan mata turut disediakan oleh Pusat Perubatan Cengild G. I. dan La Calisto.

Jenama-jenama utama yang menyokong Lotus’s Ceria Charity Run 2024 termasuk Nestlé (Malaysia) Berhad, Unilever, Kimberly-Clark, dan Mondelez, yang semuanya menunjukkan komitmen kuat terhadap inisiatif yang bermanfaat ini. Acara ini bukan sekadar tentang larian, tetapi tentang memberikan kembali kepada masyarakat dan menyokong pendidikan di negara kita.

Terdapat pelbagai aktiviti yang juga akan berlangsung di Lotus’s Ara Damansara untuk dinikmati oleh para pelanggan sehingga 31 Oktober 2024 seperti:

  • 27 September – 29 September 2024: Pelancaran Nestle Kit Kat Mixes, minuman coklat Kit Kat pertama di dunia yang dihasilkan di Malaysia (Tingkat Bawah)
  • 29 September – 30 September 2024: Tawaran promosi eksklusif dalam stor (Pasar Raya, Tingkat Pertama)
  • 29 September – 30 September 2024: Temui Nina, Kambing Pygmy dan rakan-rakannya di Mini Petting Zoo dengan perbelanjaan minimum RM20 di Lotus’s Ara Damansara (Tingkat Bawah)
  • 27 September – 31 October 2024: Bouncy Castle (Tingkat Pertama)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *