Bolt, platform mobiliti dari Eropah yang semakin mendapat tempat di Malaysia, telah melancarkan ciri baharu yang memberi impak besar kepada pengalaman ride-hailing integrasi penuh tambang tol ke dalam kadar tambang. Melalui inisiatif ini, Bolt muncul sebagai penyedia perkhidmatan pertama di negara ini yang memperkenalkan sistem pengiraan tol secara automatik dalam aplikasi mereka, sekaligus meningkatkan ketelusan dan kemudahan untuk pengguna dan rakan pemandu.
Sebelum ini, caj tol sering ditambah selepas perjalanan selesai atau dikira secara manual oleh pemandu, yang kadangkala menimbulkan kekeliruan serta perbezaan jumlah tambang. Kini, Bolt menghapuskan keperluan tersebut dengan menyatukan semua kos dalam satu tambang tetap yang dipaparkan lebih awal kepada penumpang. Dengan hampir 200 plaza tol aktif di seluruh Malaysia serta pelbagai sistem tol terbuka, tertutup dan campuran langkah ini merupakan penyelesaian praktikal kepada isu yang telah lama membebankan kedua-dua pihak.
Kemaskini aplikasi Bolt kini membolehkan penumpang melihat jumlah tambang akhir, termasuk caj tol, sebelum perjalanan disahkan. Ciri ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan terhadap platform tetapi juga membantu penumpang merancang perbelanjaan mereka dengan lebih jelas. Di pihak pemandu pula, caj tol dikira secara automatik dan terus dimasukkan ke dalam jumlah tambang, membolehkan mereka memberi tumpuan kepada pemanduan tanpa perlu membuat pengiraan atau penyesuaian selepas perjalanan.
Pengurus Besar Bolt Malaysia, Afzan Lutfi menjelaskan bahawa penambahbaikan ini lahir daripada pemahaman mendalam terhadap keperluan pengguna tempatan. “Di Malaysia, tol adalah sebahagian besar daripada perjalanan harian. Dengan mengautomasikan proses ini, kami bukan sahaja menjimatkan masa pemandu dan penumpang, malah mengurangkan risiko salah faham yang sering berlaku akibat caj yang tidak jelas,” katanya. Tambah beliau, ketelusan dalam tambang adalah asas kepada pengalaman mobiliti yang lebih baik, dan Bolt komited untuk terus memperkenalkan ciri yang menyokong matlamat tersebut.
Ciri ini telah mula memberi kesan positif kepada komuniti pemandu. Rahimah Ismail, seorang rakan pemandu Bolt dari Lembah Klang berkongsi pengalamannya: “Dulu agak leceh nak kira tol bila bawa penumpang, terutama waktu sibuk. Tapi sekarang semuanya lebih mudah dan tiada salah faham tentang caj.”
Baru-baru ini sempena Rumah Terbuka Raya Bolt, syarikat turut mengumumkan beberapa lagi penambahbaikan yang akan diperkenalkan tidak lama lagi, seperti sistem jarak pengambilan yang lebih efisien dan akses pendapatan yang lebih lancar untuk pemandu. Kesemua pembaharuan ini dibangunkan berdasarkan maklum balas terus daripada komuniti rakan pemandu, dengan objektif untuk memberikan mereka lebih kawalan dan fleksibiliti dalam pekerjaan harian.
Inovasi seperti ini membuktikan komitmen Bolt untuk membina bandar yang mengutamakan manusia berbanding kenderaan. Dengan mengurangkan beban operasi dan meningkatkan kecekapan sistem ride-hailing, Bolt bukan sahaja memberi nilai tambah kepada penumpang dan pemandu, malah meletakkan penanda aras baharu bagi industri mobiliti di Malaysia. Pendekatan berasaskan komuniti dan penambahbaikan berterusan menjadikan Bolt peneraju dalam membentuk masa depan perkhidmatan pengangkutan yang lebih cekap, adil dan mudah diakses.