Ramadan sering dikaitkan dengan bunyi kuali berdesing dan aroma juadah yang menggamit selera menjelang waktu berbuka. Namun kali ini, bukan sekadar hidangan yang hangat, malah suasana dapur sendiri boleh menjadi ‘panas’ dengan gelagat dan telatah yang mencuit hati. Hakikatnya, rahsia sesuatu hidangan bukan hanya terletak pada bahan atau resipi yang sempurna, tetapi juga pada siapa yang berada di sisi ketika ia disediakan.
Menerusi kempen Jwanjih Kenyang, TV3 mempersembahkan Resipi Serasi, sebuah program yang melangkaui konsep masakan biasa untuk berbuka puasa. Menggabungkan Ain Edruce dan suaminya, Amirul Hafiz, rancangan ini membawa penonton menyaksikan dinamika pasangan tersebut di dapur, daripada pertembungan gaya memasak dan ‘perang kecil’ yang spontan, sehinggalah usik-mengusik manja serta gelak tawa yang menceriakan suasana.
Ain Edruce dikenali dengan personalitinya yang bertenaga, spontan dan petah berbicara, manakala Amirul pula tampil dengan karakter yang lebih tenang, bersahaja dan jarang melatah. Perbezaan dua personaliti ini menjadi ramuan utama yang mencipta keserasian tersendiri, sekali gus menjadikan Resipi Serasi unik dan menghiburkan.

Setiap episod menampilkan pasangan ini menyediakan menu pilihan bersama, namun kekuatan sebenar program ini terletak pada kisah di sebalik setiap hidangan. Kenangan awal perkahwinan, momen lucu di dapur serta detik kecil yang tampak sederhana tetapi penuh makna menjadi pengikat yang memperlihatkan sisi intim hubungan suami isteri.
Sebagai sebahagian daripada kempen Jwanjih Kenyang, program ini menambah warna kepada pengisian Ramadan TV3 dengan pendekatan yang lebih peribadi dan emosional. Ramadan kali ini bukan sekadar tentang juadah yang mengenyangkan, tetapi juga tentang cerita, kenangan dan kebersamaan yang menyentuh hati.
Resipi Serasi mula bersiaran pada 22 Februari 2026, setiap Ahad jam 3.00 petang di TV3 dan turut boleh distrim melalui Tonton. Teruskan tradisi kebersamaan sepanjang Ramadan dan Raya 2026 dengan menyaksikan program istimewa ini di TV3 atau menontonnya pada bila-bila masa secara digital, kerana setiap detik berharga lebih bermakna apabila diraikan bersama.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama dan rancangan kegemaran anda, layari Facebook, X, YouTube dan Instagram TV3 di @TV3Malaysia, ikuti juga Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat serta platform rasmi Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram di @tontonmy.