Rasmi! AJL40 Berlangsung 15 Ogos di Unifi Arena, Tiket Kini Dijual ⭐

Kuala Lumpur, 26 Jun 2026 – Penantian peminat muzik tanah air akhirnya berakhir apabila TV3 mengesahkan Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) bakal berlangsung pada 15 Ogos 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil. Pengumuman yang turut disertai pembukaan jualan tiket rasmi itu menandakan bermulanya detik paling dinanti dalam kalendar industri muzik tempatan, sekali gus menghangatkan lagi perjalanan menuju malam kemuncak anugerah berprestij tersebut.

Sejak kempen #ROADTOAJL40 dilancarkan, media sosial dibanjiri pelbagai spekulasi mengenai lokasi serta tarikh penganjuran AJL40. Keterujaan peminat jelas terserlah apabila ramai berkongsi hasrat untuk kembali memenuhi arena bagi menyaksikan persembahan akhir secara langsung, malah ada yang sudah merancang percutian dan pertemuan bersama keluarga serta rakan-rakan semata-mata untuk menikmati pengalaman menonton AJL dari dekat.

Pembukaan jualan tiket memberi peluang kepada peminat untuk menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-40 AJL, sebuah platform yang sejak sekian lama menjadi pentas penghargaan kepada komposer, penulis lirik, penyanyi dan seluruh tenaga kreatif yang mencorakkan industri muzik Malaysia. Setiap edisi bukan sahaja menampilkan persaingan lagu-lagu terbaik, malah sering menjadi pentas lahirnya persembahan ikonik yang terus dikenang sepanjang zaman.

Menjelang malam kemuncak, pelbagai aktiviti sampingan turut dirancang bagi menyemarakkan lagi kempen #ROADTOAJL40. Antaranya termasuk sesi Meet & Greet bersama artis, program Muzik Lab serta pelbagai pengisian interaktif yang memberi peluang kepada peminat mendekati finalis dan meraikan evolusi muzik tempatan sepanjang empat dekad penganjuran AJL.

Dengan gabungan persaingan sengit, persembahan bertaraf produksi tinggi serta sokongan padu peminat, AJL40 dijangka menjadi antara edisi paling istimewa dalam sejarah penganjurannya. Sambutan ulang tahun ke-40 ini bukan sekadar meraikan lagu terbaik, malah menjadi simbol kesinambungan legasi Anugerah Juara Lagu sebagai platform yang terus mengangkat karya tempatan dan memperkukuhkan kedudukan industri muzik Malaysia di persada hiburan.