Setia dalam permainan luka” bukan satu pengorbanan yang mudah, apatah lagi apabila kebenaran mula menghimpit dari segenap arah. Bila Cinta Menjadi Dosa menyelami kisah kepulangan yang mencetuskan pergolakan, kemunculan cinta lama yang kembali menghantui serta pertarungan mempertahankan maruah dan pengaruh dalam sebuah keluarga berprofil tinggi.
Drama 30 episod arahan Shuhaimi Lua ini bakal menemui penonton bermula 27 Februari 2026, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di slot Lestary TV3. Mengangkat naratif penuh tekanan, ia memaparkan konflik yang menyentuh sisi paling rapuh setiap watak apabila masa silam kembali menuntut penjelasan.
Dibintangi Che Puan Sarimah Ibrahim, Zamarul Hisham, Zairi Aziz, Alya Iman, Nelissa Nizam, Elizad Sharifuddin dan Maria Farida, drama ini berkisar tentang sebuah keluarga yang mula goyah apabila rahsia lama tidak lagi mampu disembunyikan. Zhafran lakonan Zairi Aziz pulang ke tanah air selepas sekian lama membawa diri dan disambut oleh bapanya, Dato’ Yusof yang dilakonkan Zamarul Hisham serta ibunya, Datin Kalsom lakonan Maria Farida. Namun kepulangan itu bukan sekadar pertemuan semula, sebaliknya membuka ruang kepada ketegangan yang selama ini tersembunyi di sebalik reputasi dan kemewahan keluarga mereka.




Kemunculan Eva, watak yang dibawakan Che Puan Sarimah Ibrahim, yang mendakwa mempunyai hubungan sulit dengan Dato’ Yusof, mula menggoncang kepercayaan dan mencetuskan perpecahan. Dalam suasana yang semakin tegang, Nurul Yasmeen lakonan Alya Iman, bekas kekasih Zhafran, kembali hadir dalam hidupnya sebagai setiausaha kepada Dato’ Yusof. Pertemuan itu mengheret semula kenangan lama, kesilapan lalu dan janji yang pernah dimungkiri.
Menurut Zairi Aziz, kepulangan Zhafran pada awalnya kelihatan biasa, namun dia sendiri tidak menyangka ia bakal mencetuskan kekacauan. Apabila keluarganya berdepan ancaman, Zhafran menyedari kepulangannya membawa makna yang lebih besar dan dia terpaksa bangkit daripada luka lama untuk menjadi pelindung kepada insan tersayang, walaupun dalam diam masih mencari jawapan terhadap persoalan yang belum terungkai.
Zamarul Hisham pula menyifatkan Dato’ Yusof sebagai seorang lelaki tegas yang percaya kawalan adalah kunci kestabilan. Namun apabila rahsia yang disembunyikan mula terbongkar, dia terpaksa berdepan akibat daripada tindakannya sendiri. Dalam usaha mempertahankan nama dan kedudukan, dia cuba memperbetulkan kesilapan lampau, sama ada kerana keinsafan atau demi mengekalkan kuasa yang dimiliki.
Bila Cinta Menjadi Dosa menyaksikan pertembungan antara cinta, tanggungjawab dan kepentingan diri. Setiap pilihan membawa implikasi tersendiri, dan kebenaran yang cuba dikunci akhirnya tetap mencari jalan untuk terungkap. Persoalannya, mampukah segalanya terus disembunyikan, atau kebenaran itu bakal meruntuhkan seluruh institusi keluarga yang dibina?
Saksikan Bila Cinta Menjadi Dosa bermula 27 Februari 2026, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di slot Lestary TV3. Penonton juga boleh menstrim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau menerusi aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.