Qifarrah: Jejak Warisan Berdarah yang Kembali Menghantui Keluarga

Dalam setiap bisikan gelap, tersembunyi kebenaran yang menanti untuk terbongkar. Itulah yang bakal dipersembahkan melalui Qifarah, taruhan pertama pengarah tersohor Ghaz Abu Bakar dalam genre seram yang dijangka akan menggegarkan pawagam seluruh negara mulai 9 Oktober 2025. Mengangkat tema penebusan dan pengampunan, filem ini menawarkan sebuah pengalaman sinematik penuh misteri, ketegangan dan unsur ghaib yang akan menghantui penonton sehingga ke detik akhir.

Diterbitkan oleh Skop Productions dengan kerjasama My Way Pictures dan Astro Shaw, serta Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, Qifarah menghimpunkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay, Namron, Esma Daniel, Vanida Imran, Rita Nadira, dan Rafique Iskandar. Gabungan nama besar ini dijangka memberi impak kuat terhadap penceritaan yang sarat dengan emosi, konflik dan rahsia keluarga.

Qifarah mengisahkan Yusoff (Remy Ishak), seorang perantau yang telah menetap di Kaherah selama tiga dekad bersama isterinya Marissa (Rita Nadira) dan anak mereka Mikhail (Rafique Iskandar). Namun, kepulangannya ke tanah air setelah menerima berita tentang bapanya yang nazak membuka semula lembaran lama yang dipenuhi rahsia kelam. Yusoff berniat membantu ayahnya bertaubat daripada amalan ilmu hitam, namun dalam masa yang sama harus berdepan dengan sejarah silam keluarganya yang mengerikan.

Pertemuan semula Yusoff dengan ibu tirinya Mawar (Sharifah Sakinah) yang tidak dimamah usia, serta adiknya Eykha (Liyana Jasmay) yang kekal berjiwa kanak-kanak, menambahkan ketegangan. Kehadiran Marissa dan Mikhail ke rumah pusaka keluarga Yusoff mencetuskan pelbagai kejadian aneh dan menyeramkan, menjadikan setiap langkah mereka dipenuhi misteri dan ancaman yang tidak dijangka.

Filem Qifarah menampilkan elemen mistik dan kuasa ghaib dengan sentuhan sinematografi bergaya yang mengundang penonton untuk merenung makna dosa silam serta ruang penebusan yang masih terbuka. Setiap babak dirancang dengan teliti daripada rekaan set, pencahayaan, prop, hinggalah kepada kostum untuk membina dunia seram yang benar-benar imersif dan memberi kesan mendalam.

Menurut pengarahnya, Ghaz Abu Bakar, “Setiap babak dirangka untuk memberi impak yang berkesan. Saya mahu setiap penonton merasai intensiti dunia Qifarah dan pengajaran yang ingin disampaikan, dengan elemen visual dan bunyi yang tidak mudah dilupakan selepas meninggalkan pawagam.”

Qifarah bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 9 Oktober 2025, menjanjikan sebuah perjalanan ngeri di mana setiap titisan darah menyimpan rahsia, setiap bisikan menjadi mantera, dan setiap bayangan menuntut pembalasan.

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif Qifarah, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.