Selepas mencipta fenomena dalam dunia teater tempatan, Puteri Gunung Ledang The Musical kembali dipentaskan dengan produksi baharu yang dijadual berlangsung dari 31 Oktober hingga 15 November 2026 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square.
Diterbitkan oleh Enfiniti, muzikal ikonik ini kembali dengan nafas baharu bagi memperkenalkan semula kisah legenda Puteri Gunung Ledang kepada generasi muda, di samping mengimbau nostalgia peminat yang pernah menyaksikan pementasan asal lebih dua dekad lalu.
Pengumuman barisan pelakon menerusi program Astro Meletop serta pembukaan jualan tiket menerima sambutan luar biasa daripada peminat. Media sosial dibanjiri pelbagai reaksi positif, manakala pertanyaan mengenai tiket dan tempahan persembahan korporat turut meningkat dalam tempoh singkat.
Barisan pelakon edisi 2026 menampilkan gabungan artis berpengalaman dan bakat baharu. Aisha Retno dan Mila Mohsin akan bergilir membawakan watak Puteri Gunung Ledang, manakala Aqasha menghidupkan kembali watak Hang Tuah. Produksi ini turut dibintangi Mimi Fly, Nadia Aqilah, Luqman Hafidz dan Yusof Hashim.
Sebagai persediaan, semua pelakon telah menjalani Bengkel Imersi Budaya Jawa selama 10 hari bagi mendalami budaya, adat dan latar sejarah yang menjadi inspirasi kepada karya tersebut. Dalam masa sama, pasukan kreatif dan teknikal giat menyiapkan elemen muzik, koreografi, kostum, rekaan pentas serta kesan visual bagi memastikan pementasan kali ini tampil lebih memukau.
Latihan penuh akan bermula pada 17 Ogos sebagai persiapan menuju malam pembukaan, menandakan fasa penting dalam proses menghasilkan sebuah produksi bertaraf tinggi.
Menurut Pengarah dan Penerbit Eksekutif Bersama Puteri Gunung Ledang The Musical, Tiara Jacquelina, kembalinya produksi ini merupakan detik yang amat bermakna selepas lapan tahun sejak Enfiniti mementaskan OlaBola The Musical.
Beliau berkata, sambutan yang diterima daripada peminat di platform seperti Threads, Instagram dan TikTok amat menggalakkan, malah pihaknya turut menerima pelbagai pertanyaan daripada syarikat korporat yang ingin menempah persembahan lebih awal.
Tambah beliau, pasukan kreatif telah bekerja keras sejak beberapa bulan lalu untuk memperhalusi setiap aspek produksi, daripada muzik dan koreografi sehinggalah kepada rekaan pentas, kostum serta kesan khas, demi memastikan penonton menikmati pengalaman teater yang sukar dilupakan.
Tiket kini mula dijual dengan tempoh tempahan eksklusif selama 72 jam kepada pemegang kad AFFIN sebelum jualan dibuka kepada orang ramai. Orang ramai disaran mendapatkan tiket lebih awal berikutan permintaan yang terus meningkat.
Untuk maklumat lanjut mengenai tiket dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi @PGLTheMusical dan @EnfinitiMakesMagic di platform media sosial.











