TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Pentas Runway Bergoncang Dek Kecomelan Si Bulus, Purina Felix Cat Fashion Week Hangat Rebut RM5,000!

Lencana bulat logo rasmi Purina Felix Cat Fashion Week berwarna biru dan jingga dengan ilustrasi maskot kucing Felix

Pentas peragaan The Curve, Mutiara Damansara bertukar meriah apabila karpet merah dipenuhi aksi comel daripada barisan si bulus dalam acara Purina Felix Cat Fashion Week Akhir yang berlangsung baru-baru ini.

Diterajui oleh Fiza Frizzy dan Sissy Imann selaku pengacara, acara berprestij ini menyaksikan enam pasangan finalis melangkah anggun memperagakan busana eksklusif hasil sentuhan pereka fesyen terkenal, Kashfi Zulkufli. selepas menjalani persiapan rapi menerusi sesi Masterclass khas.

Keenam-enam finalis tampil penuh imaginasi dengan membawakan identiti tersendiri, merangkumi tema bangsawan mewah, karakter mafia berkarisma, ratu cantik menawan, bintang pentas, putera berwarisan Perak sehinggalah gaya lelaki bersut moden di samping si comel bergaun comel. Kreativiti olahan busana dan aksesori yang disesuaikan mengikut karakter setiap kucing bukan sahaja mencuri tumpuan para penonton yang hadir, malah berjaya menyerlahkan lagi keserasian luar biasa antara pemilik dan haiwan kesayangan masing-masing.

Penyanyi Aina Abdul berbaju merah hati tersenyum sambil memangku kucingnya Oked yang memakai baju kemeja di acara Cat Fashion Week

Persaingan sengit itu dinilai oleh barisan juri berkaliber iaitu Mark Adam bersama kucingnya Rokieya, pakar dandanan kucing Mohd Jeffrey, serta penyanyi terkenal Aina Abdul yang turut ditemani kucingnya, Oked. Selain aspek gaya, kekemasan dan kreativiti para juri turut menilai keyakinan serta aura persembahan setiap peserta di atas pentas, diselang-seli dengan persembahan bertenaga daripada Aina Abdul menerusi lagu ‘Kamu’, Ayda Jebat dengan lagu ‘Pencuri Hati’ dan Nabila Razali yang mendendangkan lagu ‘Cukup Sampai Di Sini’.

Kemeriahan hujung minggu tersebut turut diserikan dengan aktiviti interaktif luar pentas seperti sesi mewarna, lukisan muka dan sudut adopsi kucing yang menerima sambutan hangat daripada pengunjung santai. Bagi mengetahui siapa dalam kalangan enam finalis yang berjaya membawa pulang trofi kejuaraan beserta wang tunai RM5,000, peminat boleh menyaksikan siaran penuh Purina Felix Cat Fashion Week Akhir pada 25 Oktober 2026, jam 9.00 malam di TV3 atau strim semula menerusi platform Tonton.