PRIHATIN Luncurkan Aplikasi Siswa Madani di UiTM

Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah melancarkan Aplikasi Siswa Madani dalam Program Townhall Ikon Nasional, yang dihadiri oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato (Dr.) Johari bin Abdul. Acara ini berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, dengan lebih 4,000 pelajar baharu hadir sempena Minggu Destini Siswa (MDS) sesi Oktober 2024.

Program bagi melancarkan aplikasi siswa madani ini menyediakan platform untuk pelajar berinteraksi langsung dengan pemimpin negara, membolehkan mereka menyuarakan pandangan dan kebimbangan yang dihadapi. Dalam sesi ini, pelajar mendapat pendedahan mengenai tanggungjawab Dewan Rakyat dalam membentuk dasar-dasar negara yang relevan.

Aplikasi Siswa Madani

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, PRIHATIN juga menyerahkan “Kit Madani” kepada pelajar asnaf UiTM, membantu mereka memulakan kehidupan kampus dengan lebih selesa.

Aplikasi Siswa Madani berfungsi sebagai pusat sehenti untuk mahasiswa dari kalangan keluarga B40, memudahkan mereka mengakses bantuan dengan lebih cepat dan efisien. Ini seiring dengan usaha kerajaan untuk memanfaatkan teknologi dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada golongan sasar.

Menurut Dato’ Mohd Aizuddin Gahazali, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, pelancaran aplikasi ini menunjukkan komitmen yayasan untuk memastikan kebajikan mahasiswa, terutamanya mereka yang kurang berkemampuan. Dengan pendekatan sistematik dan telus, PRIHATIN berhasrat tiada mahasiswa yang tercicir daripada menerima sokongan yang diperlukan.

Program ini diharapkan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar di seluruh negara, khususnya golongan asnaf dan B40. PRIHATIN percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan adalah kunci masa depan negara dan terus komited untuk menyantuni pelajar yang memerlukan agar mereka dapat mencapai potensi penuh dalam akademik dan kehidupan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *