SUBANG JAYA, 13 Julai 2026 – Kalau sebelum ini ramai mengenali pickleball sebagai sukan baharu, kini popularitinya semakin meningkat apabila Blossom Rally Pickleball 2026 berjaya menarik lebih 500 peserta untuk turun beraksi di gelanggang.
Berlangsung di Tomaz Pickleball Club, pertandingan ini bukan sahaja menghimpunkan pemain berpengalaman, malah turut menjadi medan buat selebriti, atlet profesional dan peminat sukan mencuba cabaran baharu. Lebih menarik, penyertaan wanita turut mendapat perhatian dengan lebih 70 peserta mengambil bahagian.
Dengan hadiah keseluruhan bernilai RM50,000 berupa wang tunai dan barangan penaja, setiap peserta tampil memberikan aksi terbaik dalam lima kategori yang dipertandingkan. Kategori Suami Isteri dan Berpasukan antara yang paling mendapat perhatian kerana membawa elemen kekeluargaan dan kerjasama.

Dianjurkan oleh Akademi Sang Putra (ASP), Blossom Rally Pickleball 2026 membawa tema “Platform Sukan Untuk Komuniti” bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat menyertai aktiviti sihat menerusi sukan pickleball.
Acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran ramai selebriti terkenal termasuk Elfira Loy, Datuk AC Mizal, Cik Manggis, Harris Annuar, Dayah Bakar, Dahlia Rizal, Ayie Floor88, Fify Azmi dan Safiq Rahim.
Menurut Pengarah Program, Ahmad Zaim Ahmad Taufek, penganjuran sulung Blossom Rally Pickleball menerima sambutan di luar jangkaan apabila lebih 40 selebriti turut menyertai acara tersebut.

Katanya, kategori Suami Isteri yang melibatkan 40 pasangan membuktikan pickleball bukan sahaja menjadi pilihan golongan tertentu, tetapi mampu menyatukan komuniti melalui aktiviti sukan.
Melihat kepada sambutan luar biasa ini, penganjuran Blossom Rally Pickleball 2.0 kini sedang dipertimbangkan untuk diadakan pada hujung tahun ini atau tahun hadapan.
Zaim turut yakin pickleball mampu berkembang lebih jauh dan berpotensi menjadi antara sukan yang diketengahkan di peringkat MSSM serta Sukma pada masa akan datang.







