Pada 18 Februari 2025, lebih 400 murid SMK Convent (M) Kajang terlibat dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah’, yang dianjurkan oleh Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad. Program ini bertujuan untuk memperkasa generasi muda dengan memberi peluang kepada murid-murid untuk mengasah kreativiti dan membina keyakinan diri mereka dalam suasana yang interaktif dan menyeronokkan.
Dari pukul 9.00 pagi hingga 1.00 petang, aktiviti-aktiviti menarik dijalankan untuk memberi ruang kepada para pelajar untuk berinteraksi, menonjolkan bakat terpendam dan mengasah kemahiran komunikasi mereka. Aktiviti seperti sesi perkongsian ilmu, ceramah pendidikan, dan rakaman kandungan video untuk platform digital TV3, termasuk juga permainan seperti Uji Bakat Drama, Uji Bakat Berita, serta Mix & Match menjadi antara pengisian utama yang menceriakan suasana.
Menurut Puan Farah Shamsudin, Pengarah Pemasaran Kreatif dan Komunikasi Rangkaian Televisyen Media Prima, “Melalui program ini, kami bukan sahaja mahu menghiburkan tetapi juga memberi ruang kepada murid untuk menggali potensi mereka, meningkatkan keyakinan diri dan berani mengekspresikan diri mereka. Dengan sokongan dari selebriti yang hadir, kami berharap dapat memberikan inspirasi untuk mereka membina kerjaya di masa depan.”

Safi Shayla, sebagai rakan kongsi dalam program ini, turut memberikan sumbangan berharga dengan berkongsi tips penjagaan rambut kepada pelajar hijabi menerusi inisiatif ‘Sis Shay, Inspirasi Hijabi’. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan diri dan keyakinan diri dalam kalangan remaja perempuan, selari dengan objektif utama program yang ingin memupuk rasa percaya diri dan kesedaran tentang pentingnya menjaga penampilan.
Selain itu, aktiviti interaktif seperti sesi ‘Cergas+’, kuiz interaktif LED Q&A, dan persembahan sekolah turut memeriahkan suasana. Para pelajar juga berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan selebriti seperti Nisa Kay, Saree Abdullah, Malia Baby, Imran Aqil, Nabil Aqil, dan Aizat Saha, yang turut memberi inspirasi kepada mereka.
Sebagai tanda penghargaan, anugerah khas diberikan kepada pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang, manakala plak penghargaan turut disampaikan kepada pihak sekolah atas sokongan padu terhadap penganjuran program ini.

Program ini mendapat sokongan penuh daripada pihak sekolah, termasuk kehadiran Puan Ruzihan binti Jantan, Pengetua SMK Convent (M) Kajang, Puan Nor Aishah binti Raduan, Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) Sains Sosial, PPD Hulu Langat, dan Puan Kazlina Mohd Kassim, Pakar Jenama & Tinjauan Maklumat SAFI.
Program ‘Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah’ ini diharapkan dapat memberikan impak positif dalam kehidupan murid-murid, sekaligus memberi mereka peluang untuk lebih yakin, kreatif, dan berani dalam menghadapi cabaran masa depan. Dengan sokongan rakan kongsi seperti Safi Shayla dan kehadiran selebriti tempatan, program ini diyakini dapat mencetuskan perubahan yang signifikan dalam pembentukan karakter dan potensi generasi muda.