Di sebalik babak-babak mendebarkan dan aksi penuh intensiti dalam filem Blood Brothers, tersimpan pelbagai kisah belakang tabir yang tak disangka-sangka ada yang kelakar, ada yang mencabar, semuanya menjadikan pengalaman penggambaran filem ini benar-benar luar biasa. Salah satu momen paling mencuit hati berlaku ketika penggambaran babak perlawanan melibatkan watak Jaki dan Arif. Ketika Syazwan Zulkifli (Jaki) terkial-kial membuka pintu, Syafiq Kyle (Arif) yang sedang bertarung spontan menjerit, “Dah belum, anjing?!” membuatkan satu set penggambaran pecah dengan gelak tawa. Lebih menghiburkan, Syazwan menyahut spontan dengan salakan “Woof, woof, woof!” yang tak dirancang langsung tapi berjaya menjadi antara babak paling ikonik dalam filem ini.

Selain babak lucu, penggambaran juga menyaksikan cabaran besar, terutamanya ketika merakam adegan aksi “simple” di lokasi trafik yang melibatkan lebih 40 buah kereta dan tiga babak pergaduhan. Apa yang dijangka selesai dalam dua hari akhirnya mengambil masa lima hari kerana kerumitan teknikal dan keinginan pengarah menghasilkan visual yang mantap. Komitmen tinggi ditunjukkan oleh semua pelakon dan kru apabila mereka sanggup melakukan semula penggambaran dari awal demi mencapai kepuasan maksimum.

Antara yang mencuri perhatian juga ialah gelagat Syazwan Zulkifli yang digelar ‘raja tidur’ di set. Selagi bukan giliran dia, memang lena tak ingat dunia. Tapi sebaik saja nama dipanggil, dia terus ‘hidup’ dan beraksi penuh karakter macam tak perlukan warm-up langsung! Ramai yang bergurau, mungkin dia hafal skrip dalam tidur, sebab hasil lakonannya tetap menjadi walaupun baru bangun dari mimpi.

Namun, cabaran paling besar mungkin datang dari faktor cuaca dan lokasi. Penggambaran yang dijalankan di bangunan lama yang masih belum siap sepenuhnya sering terganggu dengan hujan yang menjadikan lantai licin dan berbahaya. Pergerakan menjadi terbatas, dan penggambaran perlu diperlahankan atas faktor keselamatan. Tapi itu semua tidak mematahkan semangat pasukan produksi Blood Brothers. Dengan semangat berpasukan yang tinggi, mereka teruskan juga penggambaran walau apa jua rintangannya.
Kesimpulannya, Blood Brothers bukan sekadar sebuah filem aksi ia adalah hasil gabungan usaha luar biasa, kreativiti spontan dan semangat kental di belakang tabir. Dari babak lawak spontan hinggalah adegan aksi yang perlukan kesabaran luar biasa, semua momen ini menjadikan Blood Brothers bukan saja layak ditonton, tetapi juga diraikan. Jangan lupa saksikan filem ini yang kini sedang menggegarkan pawagam berdekatan anda, dan kongsikan kegilaan di sebalik tabir dengan tandapagar #BloodBrothers #BaraNaga #SapotLokal #SapotBloodBrothers.