Pemegang Saham Sokong Hala Tuju JAG Berhad Pada AGM Ke-28

JAG Berhad (“JAG” atau “Syarikat”), syarikat yang terlibat dalam pengurusan sisa dan pemulihan sumber, hari ini mengumumkan bahawa semua resolusi yang dibentangkan pada AGM ke-28 syarikat telah mendapat kelulusan penuh daripada para pemegang saham. Mesyuarat tersebut berlangsung di Kelab Golf dan Desa Kota Permai, Shah Alam.

Antara perkara utama yang diluluskan termasuk penerimaan Penyata Kewangan Beraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 bersama laporan Pengarah dan Juruaudit. Pemegang saham turut meluluskan pembayaran yuran Pengarah serta manfaat berkaitan untuk tempoh sehingga AGM akan datang.

Selain itu, Datin Tan Siew Ching dipilih semula sebagai Pengarah Syarikat, manakala Russell Bedford LC PLT terus dikekalkan sebagai Juruaudit Syarikat. Encik Ewe Chuan Seng pula secara rasmi bersara selepas memilih untuk tidak bertanding semula dalam pemilihan kali ini.

Dalam masa sama, para pemegang saham turut meluluskan pembaharuan mandat am bagi penerbitan saham sehingga 10% daripada jumlah saham diterbitkan, yang akan memberi lebih fleksibiliti kepada syarikat untuk menjalankan pengumpulan dana sekiranya diperlukan bagi tujuan pelaburan, modal kerja atau peluang pengembangan perniagaan.

Cadangan pembaharuan mandat transaksi pihak berkaitan berulang serta pembelian balik saham sehingga 10% daripada jumlah modal saham diterbitkan turut mendapat sokongan para pemegang saham.

Mengulas keputusan AGM tersebut, Pengerusi dan Pengarah Eksekutif JAG Berhad, Datin Tan Siew Ching berkata syarikat menghargai sokongan berterusan yang diberikan pemegang saham terhadap hala tuju dan strategi syarikat.

Beliau menambah, JAG akan terus memberi fokus kepada pengukuhan operasi, pematuhan standard industri, pengurusan sisa secara mampan dan usaha memperkukuh kedudukan syarikat dalam industri pemulihan sumber dan kitar semula di Malaysia.