“Paduka Cik Siti” hidup semula di pentas melalui persembahan teater muzikal

Sebuah kisah agung tentang keberanian, maruah dan cinta seorang Raja wanita Melayu bakal dipentaskan dalam Teater Muzikal Paduka Cik Siti, sebuah produksi megah terbitan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan kerjasama Persatuan Alumni ASWARA. Muzikal ini akan dipersembahkan pada 19 hingga 21 Disember 2025 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya, membawa penonton menyelami perjalanan seorang figura legenda yang bangkit mempertahankan negeri dan hati dalam pelbagai ujian.

Naskhah ini mengangkat kisah Cik Siti Wan Kembang, satu-satunya waris takhta Tanah Serendah Sekebun Bunga. Baginda terpaksa mengambil alih pemerintahan selepas kemangkatan Raja Husein, menggalas amanah yang pernah dititipkan ayahandanya Raja Ahmad. Walaupun menerima pelbagai pinangan daripada raja-raja yang mahu menyuntingnya, baginda memilih untuk menolak semuanya demi menunaikan tanggungjawab sebagai Raja. Keputusan itu membawa baginda ke medan cabaran yang tidak pernah berhenti. Kebijaksanaan dan ketegasannya sering dipersoalkan pembesar, ancaman dari Siam pula menguji kestabilan negeri, dan jauh di sudut hati, wujud kesepian kerana cinta yang tidak mampu diluahkan. Namun demi negeri, Cik Siti Wan Kembang menempuh segala cabaran dengan kebijaksanaan seorang pemimpin sejati.

Pementasan ini menampilkan gabungan lakonan, tarian, muzik dan visual yang penuh warna serta sarat emosi. Dengan rekaan pentas berskala besar dan pengarahan bertenaga, ia menjadi hasil kolaborasi kukuh antara alumni, pensyarah dan pelajar ASWARA. Teater Muzikal Paduka Cik Siti bukan sahaja memaparkan perjuangan seorang wanita memimpin negeri, tetapi juga kisah pengorbanan seorang pemimpin yang menundukkan kehendak peribadi demi kepentingan rakyat.

Produksi ini merupakan idea asal dan arahan Che Kem, dengan penulisan oleh Roziah Adama dan Khairunazwan Rodzy serta lirik karya Dr. Hairul Anuar Harun. Barisan pelakon yang membintangi muzikal ini termasuk Asmidar, Taqim Zaki, Dr. Norzizi Zulkifli, Shahrul Mizad, Nesa Idrus, Serra Kamal, Zizi Hazirah dan ramai lagi, menjanjikan persembahan penuh tenaga dan berimpak tinggi.

Tiket kini sudah mula dijual di https://www.cloudjoi.com/shows/4822-teater-muzikal-paduka-cik-siti dengan harga antara RM40 hingga RM150. Penonton yang ingin mengikuti perkembangan terkini boleh melayari laman sosial ASWARA di Instagram (@aswara.official / @persatuan_alumni_aswara), TikTok (aswara.official, persatuanalumniaswara) dan Facebook (@aswara.edu).

Saksikan kebangkitan legenda wanita Melayu dalam Teater Muzikal Paduka Cik Siti, sebuah pementasan penuh emosi, irama dan warna yang mengangkat kisah keberanian, maruah dan pengorbanan seorang Raja wanita.