Penyanyi bersuara lunak, Nur Fatima, yang kini berkelana di Sydney, Australia, kembali menghangatkan industri muzik dengan single terbarunya berjudul ‘KU CUBA’. Lagu ini merupakan hasil ciptaan komposer terkenal Sharon Paul dan penulis lirik Shah Shamshiri, dengan edaran oleh SoundOn.
Nur Fatimah Abdul Wahab, nama sebenar Nur Fatima, telah berpindah ke Sydney dari Canberra awal tahun ini bersama suaminya atas urusan kerja. Di samping itu, Nur Fatima juga aktif membuat persembahan bersama band di sekitar Australia. “Saya mengikuti suami berpindah ke Sydney, dan di sini saya terus mengejar minat dalam muzik dengan tampil bersama band tempatan,” ujarnya.
Kali terakhir Nur Fatima muncul dengan single baru adalah tiga tahun lalu menerusi lagu ‘Galeri’. Mengenai tempoh rehat yang panjang, Nur Fatima berkata, “Pandemik COVID-19 telah memberi saya masa untuk merenung dan saya merasa genre balada lebih sesuai dengan suara dan jiwa saya. Itulah sebabnya saya mengambil masa yang lebih lama untuk menghasilkan single baru.”
Lagu ‘KU CUBA’ sebenarnya pernah dicadangkan untuk dua orang penyanyi lain dan sempat dinyanyikan oleh seorang penyanyi dengan vokal yang sangat ‘power’. Namun, produser dan pengurusan memutuskan bahawa suara Nur Fatima yang lembut lebih cocok untuk menyampaikan emosi lagu ini. “Liriknya sangat dekat dengan saya kerana ia hasil nukilan sahabat rapat saya, Shah,” jelasnya.
‘KU CUBA’ mengisahkan seseorang yang sabar dan tidak berputus asa dalam menghadapi cabaran dalam percintaan. Nur Fatima berkata, “Lagu ini adalah tentang pengorbanan, keikhlasan, dan kerelaan demi kebahagiaan kekasih, walaupun diri sendiri harus berkorban.”
Lagu ini beraliran ‘power ballad’ dengan cabaran vokal yang tinggi dan rendah serta permainan emosi yang mendalam. Nur Fatima berkongsi, “Saya mengambil masa yang lama di studio untuk benar-benar menghayati liriknya sehingga produser, Sharon, berpuas hati dengan hasilnya. Saya sangat berterima kasih kepada Sharon atas bimbingannya yang sangat berharga.”
Untuk peminat yang merindui kehadiran Nur Fatima, video muzik (MV) khas juga telah dilancarkan dengan konsep yang segar dan sesuai dengan tren fesyen terkini. “MV kali ini lebih ekspresif, dengan raut wajah yang penuh emosi sedih dan sebak di bawah arahan pengarah muda berbakat, Khyrill,” kongsi Nur Fatima.
Selain itu, Nur Fatima juga berpeluang menggayakan busana indah hasil rekaan pereka fesyen Hasfitri Yusof dengan sentuhan penata gaya Zhee. A. Hussein, yang menambahkan lagi keindahan visual MV ini.
Meskipun sudah bertahun-tahun dalam industri, Nur Fatima mengakui cabaran untuk kekal relevan amat besar. “Persaingan sangat sengit, tetapi saya tidak pernah berputus asa. Saya juga memutuskan untuk mendalami ilmu muzik dengan menyambung pelajaran,” ujarnya.
Sebagai nasihat kepada pendatang baru, Nur Fatima menekankan pentingnya pendidikan. “Utamakan pelajaran sebelum memilih bidang apa pun. Ilmu bukan sahaja memberi pengetahuan, tetapi juga mendidik disiplin. Dan yang paling penting, sayangi diri dengan menjaga kesihatan fizikal dan emosi. Beranilah dan jangan cepat berputus asa,” katanya.
Nur Fatima berharap agar lagu ‘KU CUBA’ mendapat sambutan hangat dari pendengar dan mampu menyentuh hati sesiapa sahaja yang mendengarnya. Lagu ini boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan. Ia juga tersedia di aplikasi penstriman seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music, dan YouTube Music.
MV lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Nur Fatima Music di youtube.com/@nurfatimamusic.