
Selepas mencipta fenomena luar biasa menerusi single “Bukan Lagi Kita” yang meraih lebih 100 juta penstriman di pelbagai platform digital serta mendominasi carta muzik tempatan, penyanyi berbakat besar, Nadeera, kembali menghangatkan industri muzik tanah air dengan single terbaharu berjudul “Cuba Jadi Aku”. Diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment, karya ini hadir sebagai sebuah balada penuh emosi yang mengangkat kisah luka, pengkhianatan dan kekuatan untuk bangkit selepas dikecewakan oleh insan yang paling dipercayai.
Menggabungkan elemen pop balada kontemporari dengan sentuhan rock moden, “Cuba Jadi Aku” menampilkan sisi Nadeera yang lebih matang bukan sahaja dari segi vokal, malah dalam penceritaan. Lagu ini mengisahkan seseorang yang telah memberikan sepenuh hati kepada insan tersayang, namun akhirnya terpaksa menanggung kesakitan akibat pengkhianatan. Korus yang berbunyi “Cuba kau, cuba jadi aku. Sedarkan kau yang mula semua dahulu?” menjadi simbol kepada luahan hati mereka yang berharap orang yang menyakiti mereka benar-benar memahami penderitaan yang ditinggalkan.
Keistimewaan lagu ini turut terserlah menerusi kolaborasi bersama dua nama besar industri, Hael Husaini dan Iqie Hugh, yang sekali lagi membuktikan sentuhan magis mereka dalam menghasilkan karya berkualiti. Lebih bermakna, Nadeera sendiri turut terlibat sebagai salah seorang komposer, sekali gus memberikan dimensi yang lebih peribadi terhadap lagu tersebut. Menurut penyanyi itu, “Cuba Jadi Aku” merupakan antara karya yang paling dekat dengan dirinya kerana mesej yang dibawa sangat jujur dan mampu mewakili perasaan ramai yang pernah melalui episod kekecewaan dalam hubungan.
Melengkapkan lagi penceritaan, video muzik rasmi lagu ini menampilkan Bella Dowanna, Azri Safix dan Ariana dalam sebuah kisah cinta yang diuji dengan kehadiran orang ketiga. Jalan cerita yang sarat konflik dan emosi itu dijangka mampu memperkukuhkan lagi impak lagu kepada para penonton. Pada masa sama, Rocketfuel Entertainment optimis “Cuba Jadi Aku” mampu meneruskan momentum kejayaan Nadeera selepas pencapaian cemerlang “Bukan Lagi Kita”, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi wanita paling menyerlah dalam industri muzik Malaysia ketika ini.





