Intel terbaharu hadir dengan pelancaran muzik video rasmi “Penjuara”, nyanyian Hael Husaini yang menjadi runut bunyi utama filem animasi Ejen Ali The Movie 2 (EATM2). Lagu ini bukan sahaja dilancarkan di saluran YouTube rasmi Ejen Ali, malah telah berjaya menempatkan diri dalam Carta Muzik-Muzik 40, membuka peluang besar untuk mara ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-40.
Muzik video “Penjuara” menampilkan suntingan babak-babak ikonik dari EATM2 yang menghidupkan kembali perjalanan penuh cabaran Ali. Setiap adegan memaparkan elemen dramatik, daripada misi taktikal MATA hinggalah pertarungan menegangkan antara Ali dan Neonimus. Gabungan visual sinematik bersama muzik bertenaga ini menjadikan “Penjuara” bukan sekadar sebuah lagu, tetapi naratif perjuangan yang penuh semangat.
Dengan rentak moden yang segar, lirik penuh motivasi, serta mesej keyakinan diri, “Penjuara” segera menarik perhatian peminat muzik tanah air. Hael Husaini menyatakan bahawa lagu ini dicipta untuk menyampaikan keberanian dan semangat juang tanpa mengenal kalah. Menurutnya, “Penjuara adalah tentang semangat untuk mara ke hadapan, walaupun terperangkap dalam permainan minda yang penuh cabaran.”
Kini, perjalanan lagu ini bergantung kepada undian peminat untuk terus kekal dalam Carta Muzik-Muzik 40 dan seterusnya mara ke separuh akhir sebelum berpeluang beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40. Undian boleh dilakukan melalui laman www.tonton.com.my/muzikmuzik setiap minggu, bermula Ahad jam 12 tengah hari hingga Khamis jam 12 tengah hari.
Peminat Ejen Ali dan Hael Husaini diseru untuk menyokong dengan menonton muzik video penuh “Penjuara” di saluran YouTube rasmi Ejen Ali serta memberikan undian mereka. Inilah masanya untuk membuktikan bahawa Ejen Hael benar-benar seorang Penjuara.