Ramadan sering dikaitkan dengan kesabaran, muhasabah, dan peluang untuk memperbaiki diri. Namun tahun ini, TV3 membawakan pendekatan yang lebih berani dengan tiga naskhah berturut-turut bermula 25 Februari, malam ini. Setiap naskhah menyelami sisi emosi manusia yang rapuh apabila diuji dengan rasa cinta, kepercayaan, dan pilihan hidup. Bukan sekadar kisah hubungan yang bergolak, ketiga-tiga drama ini mengajak penonton menilai sempadan antara kesilapan dan penyesalan, antara ego dan pengorbanan, serta antara cinta dan tanggungjawab.
Di slot Samarinda, Kerana Cinta Itu Dusta menampilkan konflik pengkhianatan yang terbuka, sama ada di depan mata sendiri atau di media sosial. Ego lelaki, kepercayaan yang dicabul, dan sahabat yang menjadi duri dalam daging menjadikan drama ini medan perang emosi yang tiada berselindung. Curang bukan sekadar kesilapan, tetapi pilihan sedar, dan apabila semuanya terdedah, tiada siapa yang benar-benar menang.

Berbeza pula di slot Akasia, Khianat Yang Terpilih mengisahkan bekas kekasih yang bertemu semula dan membuka ruang kepada curang yang tidak disengajakan. Rindu lama, perkahwinan yang hambar, dan pengakuan kehamilan yang mengejutkan mencetuskan rangkaian keputusan drastik seperti perceraian, ujian DNA, keguguran, dan hati yang sukar dipulihkan. Di sinilah garis antara salah dan simpati menjadi kabur. Adakah semuanya benar-benar tidak dirancang, atau sekadar alasan untuk menghalalkan rasa?

Slot Lestary pula menyajikan drama paling mencabar melalui Bila Cinta Menjadi Dosa. Kisah ini bukan sekadar tentang pasangan, tetapi pengkhianatan seorang ayah yang meruntuhkan maruah isteri dan memusnahkan hubungan dengan anak sendiri. Nafsu, kuasa, dan dendam bercampur menjadi racun yang mengalir dalam satu keluarga. Apabila bekas kekasih anak memilih untuk mengahwini si ayah, luka lama bertukar menjadi peperangan yang lebih kejam.

Ketiga-tiga drama ini menampilkan dimensi emosi berbeza, daripada kepercayaan yang goyah, kenangan yang kembali menghantui, hingga konflik keluarga yang memerlukan kekuatan luar biasa untuk diselesaikan. Sepanjang Ramadan ini, TV3 tidak hanya menyajikan kisah dramatik, tetapi turut mengangkat realiti yang dekat dengan kehidupan. Setiap episod menjadi cermin untuk menilai pilihan, membuka mata, dan mengajar erti sebenar memelihara hati.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Kerana Cinta Itu Dusta di slot Samarinda bermula 25 Februari, Isnin hingga Jumaat jam 10.00 malam; Khianat Yang Terpilih di slot Akasia bermula 26 Februari, Isnin hingga Jumaat jam 6.58 petang; dan Bila Cinta Menjadi Dosa di slot Lestary bermula 27 Februari, Jumaat hingga Ahad jam 9.00 malam. Episod baharu juga boleh distrim 24 jam lebih awal melalui Tonton.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.