Moovby Rintis Inisiatif Mobiliti Kampus Hijau dengan Moovby for University di MMU

moovby

Moovby, platform perkongsian kereta peer-to-peer (P2P) utama di Malaysia, baru-baru ini mengumumkan kerjasamanya dengan Universiti Multimedia (MMU) melalui inisiatif Moovby for University, dalam usaha mencipta penyelesaian mobiliti yang berdaya maju, mampan, dan selamat untuk komuniti kampus. Program ini membolehkan pelajar menyewa kenderaan secara fleksibel sambil menggalakkan pemilik kenderaan untuk berkongsi kereta peribadi mereka, membantu mereka menjana pendapatan sampingan.

Kerjasama ini bukan hanya bertujuan memberikan kemudahan kepada pelajar dalam dan sekitar kampus, tetapi turut menjadi sebahagian daripada komitmen mereka untuk mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan peribadi serta menekankan kepentingan mobiliti hijau. Pengalaman perkongsian kereta ini bakal diperhebatkan dengan integrasi teknologi Moovbip, sistem pintar yang menyertakan akses tanpa kunci, pengesanan masa nyata, dan data mengenai prestasi kenderaan yang diperbaharui secara berterusan.

Sebagai sebahagian daripada pelan strategik untuk menyokong inisiatif hijau, Moovby for University akan memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) yang boleh digunakan di kampus. Langkah ini bertujuan untuk mendidik pelajar tentang kepentingan tenaga boleh diperbaharui dan menyokong sasaran negara ke arah mobiliti mampan. Dengan memperkenalkan EV, Moovby memberi peluang kepada pelajar merasai pengalaman mobiliti rendah karbon yang mesra alam sekitar.

Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid, Naib Presiden MMU, melahirkan rasa bangga dengan kolaborasi ini. Beliau berkata, “Kerjasama ini bukan sahaja menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih selamat dan mudah diakses, malah membantu pelajar mengenali pengurusan kewangan melalui perkongsian kenderaan. Inisiatif ini turut memberikan pelajar pengalaman mobiliti yang praktikal dan lestari, yang sejajar dengan matlamat MMU dalam membangunkan komuniti kampus yang inklusif dan mesra alam.”

Nik Muhammad Amin, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Moovby, menyatakan harapan bahawa program ini akan berkembang ke universiti lain di Lembah Klang dalam masa terdekat, membolehkan lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripada kemudahan pengangkutan yang fleksibel dan lestari ini. Beliau turut menambah, “Dengan adanya Moovby for University, kami berharap dapat mengurangkan beban mobiliti di kalangan pelajar dan memperkenalkan lebih banyak kenderaan elektrik dalam kalangan komuniti kampus.”

Perkongsian kereta kini semakin diterima baik di Malaysia, dengan Moovby mendahului industri ini melalui lebih 500,000 pengguna dan lebih 14,000 kenderaan untuk disewa. Menerusi inisiatif seperti Moovby for University, syarikat ini terus melangkah maju dalam usaha membentuk ekosistem mobiliti yang berkesan dan mampan, sekaligus meningkatkan aksesibiliti pengangkutan yang mampu milik.

Program ini bukan sahaja membuktikan komitmen Moovby terhadap mobiliti lestari, tetapi juga sebagai penyelesaian strategik yang memberikan pelajar lebih banyak pilihan pengangkutan yang boleh diakses dengan mudah dan selamat. Untuk maklumat lanjut, ikuti Moovby melalui saluran media sosial mereka atau layari laman web rasmi untuk perkembangan terkini dan pendaftaran penyewaan kenderaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *