Moka Pot Cafe: Kisah Impian, Tradisi Aceh dan Semangat Usahawan Wanita

‘Moka Pot Café’ hadir sebagai destinasi baharu buat penggemar kopi yang menghargai suasana santai dengan sentuhan budaya Aceh yang autentik. Kafe ini diasaskan oleh usahawan wanita, Yulia A. Hamid yang berketurunan Aceh tetapi lahir dan membesar di Malaysia. Cafe ini merupakan simbol perjalanan impiannya yang dibina dari bawah tanpa sebarang pelabur atau sokongan kewangan luar. “Saya laburkan semua simpanan emas saya untuk dijadikan modal membuka kafe ini,” kata Yulia.

Sebelum tertubuhnya Moka Pot Café, Yulia pernah mengendalikan sebuah kafe kecil di Taman Melawati, selain menjalankan perniagaan kosmetik di bawah jenama Nadhly Cosmetics serta perkhidmatan bunga hiasan Sofia Florist bersama suami. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau beralih kepada perniagaan dalam talian dengan menjual lasagna serta kopi buatan sendiri. Sambutan positif terhadap kopi Aceh yang terkenal dengan aromanya yang kuat dan rasa yang berbeza telah menyuntik semangat Yulia untuk membuka semula sebuah kafe selepas keadaan pandemik kembali pulih.

Perniagaan kosmetik milik Yulia A. Hamid di bawah jenama Nadhly Cosmetics

Nama ‘Moka Pot’ dipilih kerana Yulia sering menggunakan moka pot untuk membancuh kopi sewaktu berniaga secara kecil-kecilan dahulu. Menariknya, sebelum itu beliau hampir menamakan kafe ini sebagai “Daun Pisang Twin Tower” kerana dari kedai ini pengunjung dapat menyaksikan pemandangan Menara Berkembar Petronas yang jelas dari dalam cafe. Pemilihan lokasi ini juga dibuat kerana suasananya yang lebih eksklusif, tenang dan memiliki nilai sentimental terhadap perjalanan kerjayanya.

Antara tarikan utama di Moka Pot Café ialah minuman tradisi Aceh yang dikenali sebagai Kopi Terbalik atau Kupi Khop. Minuman ini disajikan dengan cara yang unik, di mana cawan kopi diterbalikkan di atas piring dan pelanggan menikmati kopi tersebut melalui straw selepas meniup perlahan pada bahagian mulut cawan untuk mengalirkan kopi ke piring. Keunikan ini bukan sahaja memberikan pengalaman minum yang berbeza, malah turut menyampaikan simbol warisan dan identiti masyarakat Aceh yang kini dapat dinikmati pengunjung di Malaysia.

Antara rakan-rakan usahawan serta ahli-ahli Peniagawati turut hadir memberi sokongan

Selain menawarkan pilihan hidangan dan minuman, Moka Pot Café turut menyediakan ruang pameran produk-produk dari Aceh seperti pakaian pengantin, aksesori tradisional, kosmetik dan perhiasan yang boleh ditempah secara dalam talian. Pra pelancaran kafe ini turut dihadiri rakan-rakan usahawan serta ahli-ahli Peniagawati, termasuk Datin Fatimah Ismail, isteri kepada produser tersohor Dato’ Yusof Haslam, sebagai tanda sokongan terhadap usaha dan ketabahan usahawan wanita.

Moka Pot Café beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Selain itu, ruangan kafe ini juga boleh ditempah bagi pelbagai acara seperti majlis hari jadi, pertunangan, mesyuarat dan pertemuan korporat. Untuk maklumat lanjut atau tempahan, orang ramai boleh mengikuti Instagram rasmi di @mokapotcafe_kl.