Misteri Fraser Kini Difilemkan!

Kisah kehilangan misteri peneroka Bukit Fraser, Louis James Fraser pada tahun 1910 diangkat menjadi inspirasi utama filem seram baharu bertajuk Misteri Fraser 1910, terbitan syarikat produksi tempatan, Millionaire Film Production Sdn. Bhd.

Penerbitnya, Elani Aidid menjelaskan, idea menghasilkan filem ini tercetus ketika menjalankan tinjauan lokasi penggambaran di Bukit Fraser pada tahun 2019. Tertarik dengan sejarah kehilangan Mr. Fraser selepas menemui lubuk bijih timah, Elani mendalami kisah tersebut dan mengolahnya menjadi sebuah naratif fiksyen bercampur fakta.

“50 peratus daripada jalan cerita ini adalah berdasarkan kisah sebenar, manakala selebihnya diolah dengan elemen fiksyen dan komersial hasil kajian tempatan,” jelasnya dalam sidang media Malam Gala dan Tayangan Perdana di GSC Mid Valley baru-baru ini.

Filem ini menampilkan Josiah Hogan sebagai Mr. Fraser, disokong pelakon popular seperti Amai Kamarudin, Siti Hariesa, Isyariana, dan Erry Putra. Antara keunikan filem ini adalah penggunaan dialog bahasa baku lama, busana klasik, serta suasana tahun 1910 yang dihidupkan semula dengan teliti.

Menambah kebanggaan, Misteri Fraser 1910 turut memenangi kategori Best First Time Filmmaker di Lift-Off Global Network Sessions Vol. 4 yang berlangsung di Pinewood Studio, UK, mengatasi 26 filem antarabangsa lain berdasarkan undian penonton luar negara.

“Kami telah menghantar 32 penyertaan ke festival luar negara dan kini menanti keputusan daripada sebuah festival di Rusia September ini,” tambah Elani yang juga pertama kali menulis skrip filem.

Didanai oleh FINAS melalui Dana Perkembangan Skrip Filem, karya ini mendapat bimbingan langsung dari panel skrip berpengalaman bagi memastikan kualiti penceritaan.

Bagi penggemar filem seram tempatan dengan sentuhan sejarah, Misteri Fraser 1910 bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 26 Jun 2025. – Tehtariktimes