Miri Gegar Dengan Konsert Meletop TVS: Himpunan Peminat Muzik Dari Brunei & Kalimantan

Bandaraya Miri menjadi tumpuan apabila Konsert MeleTOP TVS menggegarkan Stadium Tertutup Miri dalam satu malam penuh kemeriahan dan gilang-gemilang. Dengan tema “Nang Champiyen, Nang Legend”, ribuan peminat muzik dari dalam dan luar negara, termasuk Brunei dan Kalimantan, hadir memeriahkan acara ini yang menampilkan barisan bintang terkemuka tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Stacy, Mimifly, Dolla, dan ramai lagi.

Menariknya, ini merupakan kali pertama konsert mega MeleTOP diadakan di luar Lembah Klang, dan Miri dipilih sebagai lokasi sulung untuk menempatkan acara berprestij ini. Konsert selama dua jam yang dibawakan hasil kerjasama dua gergasi industri hiburan negara, Astro dan TVS, disiarkan secara langsung melalui pelbagai platform termasuk TVS (Saluran 122 Astro), Astro Ria, Astro GO, dan Sooka. Kehadiran Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, turut menambah kemeriahan majlis.

Konsert dimulakan dengan persembahan unik gabungan budaya dan muzik oleh kumpulan Sada Borneo dan Dion Das. Turut memukau penonton adalah dua diva hebat, Mimifly dan Stacy, yang mempersembahkan lagu popular seperti “Abracadabra”, “Menyala” dan “Angkat”. Sementara itu, bintang muda berbakat Wani Kayrie turut mencuri tumpuan dengan persembahan bertenaga bersama Noki menerusi lagu “Original Sabahan” dan “Not Like Us”, membakar semangat anak Borneo di pentas sendiri.

Malam kemuncak konsert diserikan dengan anugerah khas yang diberikan kepada penyanyi ikonik Sarawak, Dayang Nurfaizah. Beliau menerima “Anugerah Khas Borneo MeleTOP” yang disampaikan oleh Pengerusi TVS, Dato’ Norhyati Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, En. Mohamad Sardon Zainal. Anugerah ini menjadi simbol penghargaan tertinggi kepada Dayang yang berjaya mengharumkan nama Sarawak dan Borneo di pentas muzik nasional.

Dayang turut meneruskan persembahan istimewanya dengan lagu solo penuh emosi, “Seandainya Masih Ada Cinta”, diikuti kolaborasi bersama Hael Husaini menerusi lagu “Haram” yang berjaya mencuri perhatian penonton. Selain itu, beberapa penyanyi ternama seperti Hairee Francis, Marsha Milan, dan Nadeera turut membuat penampilan istimewa yang disambut hangat oleh para peminat.

Konsert berakhir dengan persembahan penuh glamor daripada kumpulan Dolla yang mengajak penonton berdiri dan menari, menutup malam dengan suasana penuh semangat dan ceria. Sementara itu, celoteh dan gelagat hos-hos popular MeleTOP seperti Nabil Ahmad, Hawa Rizwana, dan Sherry Alhadad yang digandingkan dengan hos TVS termasuk Cheryl Toh, Fattah Bolh dan Ghaz Zawawi, menjadikan setiap detik konsert penuh dengan hiburan dan gelak tawa.

Konsert Berkat Gawai-Kaamatan Kembali Meriah Pada 21 Mei 2025

Momentum konsert mega ini tidak berhenti di situ, apabila TVS mengumumkan Konsert Berkat Gawai Kaamatan yang bakal berlangsung pada 21 Mei 2025, jam 7.30 malam, sekali lagi di Stadium Tertutup Miri. Konsert ini membawa tema sambutan dua perayaan utama komuniti Borneo dengan menampilkan ratu rock tanah air, Ella sebagai artis utama.

Konsert ini turut membariskan barisan artis hebat seperti Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX, dan penampilan istimewa dari Kalimantan, Marina Jara. Dengan tiket percuma yang mendapat sambutan hangat, tempahan awal sudah habis dijual dalam masa singkat. Bagi yang masih berminat, tiket masih boleh didapati di laman web rasmi TVS (tvsarawak.my) atau di pintu masuk konsert, tertakluk kepada stok yang ada. Orang ramai khususnya warga Miri dan sekitarnya dijemput hadir untuk sama-sama menyemarakkan malam penuh budaya dan muzik yang berwarna-warni ini.

Miri, Pintu Masuk Strategik Hiburan & Budaya Serantau

Menurut En. Mohamad Sardon Zainal, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, “Miri adalah pintu masuk ke utara Sarawak dan sangat strategik kerana berdekatan dengan Brunei, Sabah, dan Kalimantan. Ulang tahun ke-20 Miri sebagai bandaraya merupakan detik yang paling tepat untuk meraikan rakyat dan budaya kita dengan acara berskala besar seperti ini.”

Akses Percuma, Hiburan Bertaraf Antarabangsa

Konsert MeleTOP TVS yang menggabungkan artis ternama tanah air dan bakat tempatan dari Sabah dan Sarawak bukan sahaja menghibur, tetapi turut membuka peluang pembangunan budaya dan industri hiburan di Borneo. Akses percuma yang ditawarkan telah menarik kehadiran pelancong dari serantau termasuk Brunei dan Kalimantan, sekaligus mengangkat Miri sebagai pusat hiburan dan perayaan bertaraf antarabangsa. Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, layari laman rasmi TVS di tvsarawak.my.