“Menjaga Hidrasi dan Kesihatan: Peranan Air dalam Menyokong Sistem Imun”

Herbalife Nutrition Doctors Scientific Leadership Headshots

Penghidratan yang cukup adalah kunci untuk memastikan sistem imun berfungsi dengan optimum dan tubuh sentiasa dalam keadaan sihat. Di Malaysia, yang mencatatkan kadar influenza tertinggi pada bulan Januari dan Julai, kita disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memastikan pengambilan air yang mencukupi bagi menyokong kesihatan tubuh secara keseluruhan.

Air adalah elemen paling asas dalam kehidupan manusia. Sebelum kita mengenali pelbagai minuman lain seperti teh, kopi, atau air herba, kita telah bergantung sepenuhnya kepada air. Walaupun minum air adalah kebiasaan harian, sering kali kita terlepas pandang tentang kepentingannya.

Badan manusia terdiri daripada kira-kira 60% air, menjadikannya unsur penting dalam memastikan setiap fungsi tubuh berjalan dengan baik. Terutama di Malaysia yang beriklim panas dan lembap, penghidratan yang baik membantu dalam proses pencernaan, penyerapan nutrien, dan perkumuhan. Selain itu, air juga memainkan peranan dalam pengawalan suhu badan, pelinciran sendi, dan mengurangkan keletihan otot. Setiap sel dan organ tubuh memerlukan air untuk berfungsi dengan sempurna.

Sama seperti organ tubuh yang lain, sistem imun juga memerlukan air bagi memastikan ia berfungsi dengan baik. Tiga cara utama air menyokong sistem imun adalah:

  1. Membantu Penyerapan Nutrien: Air terlibat dalam proses pencernaan yang membantu penyerapan nutrien ke dalam aliran darah. Nutrien yang diserap kemudian dibawa melalui darah yang kaya dengan air ke seluruh tubuh untuk digunakan oleh sel-sel tubuh.
  2. Komponen Cecair Limfa: Air adalah komponen utama dalam cecair limfa, yang mengandungi limfosit, sel darah putih yang penting dalam melawan jangkitan. Cecair limfa juga berperanan membuang bahan toksik dan kotoran, termasuk bakteria dan virus, dari tubuh. Oleh kerana 96% air terkandung dalam limfa, dehidrasi dapat mengganggu sistem penyaliran semula jadi tubuh.
  3. Menjaga Kesihatan Membran Mukus: Membran mukus yang lembap bertindak sebagai lapisan perlindungan terhadap penceroboh asing. Apabila tubuh kekurangan air, saluran hidung dan membran mukus lain boleh menjadi kering, menjadikannya kurang efektif dalam melindungi tubuh daripada ancaman luar.

Selain itu, jika seseorang menghidap penyakit atau kehilangan banyak cecair, seperti melalui batuk, demam, atau sakit perut, adalah penting untuk minum banyak air bagi membantu tubuh pulih dan mengekalkan keseimbangan cecair yang diperlukan.

Bagi memastikan kita sentiasa terhidrasi dengan baik, berikut beberapa petua yang boleh membantu:

  • Letakkan Air di Depan Mata: Salah satu cara mudah untuk memastikan anda minum cukup air ialah dengan meletakkan bekas berisi air di tempat yang mudah dilihat seperti meja dapur. Ini akan mengingatkan anda untuk minum sedikit demi sedikit sepanjang hari.
  • Simpan Air Sejuk: Air sejuk lebih menyegarkan dan mendorong kita untuk minum lebih banyak. Menyimpan sebotol air di dalam peti sejuk boleh memberi rangsangan untuk anda lebih kerap minum air pada waktu siang.
  • Minum Air Pada Pagi Hari: Untuk memastikan tubuh terhidrasi sejak awal hari, simpan segelas air di tepi katil dan minum sebaik sahaja bangun tidur.
  • Tambah Perisa Pada Air: Kadang-kadang, menambah bahan perisa seperti hirisan lemon, timun, atau daun pudina dalam air boleh menjadikannya lebih menarik dan menyegarkan.
  • Makan Makanan Berair: Selain minum air, makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi banyak air seperti tembikai, timun, dan sayur berdaun juga dapat membantu memenuhi keperluan cecair harian anda.
  • Jejak Pengambilan Air: Seperti mengira kalori, mengesan jumlah air yang diminum juga penting. Gunakan aplikasi telefon atau letakkan bekas air di meja untuk memantau pengambilan air anda dan mengingatkan anda untuk mencapai sasaran harian.

Mengambil langkah-langkah ini dalam kehidupan seharian bukan sahaja membantu mengekalkan penghidratan tubuh, tetapi juga menyokong sistem imun dan keseluruhan kesihatan tubuh. Sebagaimana tubuh kita memerlukan makanan untuk tenaga, ia juga memerlukan air untuk kesihatan yang optimum.