Dalam sebuah projek penuh makna dan menyentuh hati, Nur Azalea Zafirah binti Fendy, atau lebih dikenali sebagai Lea Zafira, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang menghidap autisme dan buta, tampil mempersembahkan semula lagu “Azalea”, ciptaan dan nyanyian asal bapanya, Fendy dari kumpulan Caliph Buskers. Lagu ini bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi juga simbol kasih seorang ayah buat anaknya — kerana ia dicipta hanya beberapa jam selepas Lea Zafira dilahirkan, menjadikan “Azalea” sebuah lagu yang amat peribadi dan sarat dengan emosi.
Menurut Fendy, lagu itu telah menjadi sebahagian daripada hidup anaknya sejak kecil. “Fira dah dengar lagu ni sejak dia bayi lagi, sebab lagu ni saya cipta sejurus selepas dia dilahirkan. Jadi bila dia mula menyanyi, dia memang dah terbiasa dengan melodi dan lirik lagu ni. Dia tahu lagu ni memang untuk dia,” ujarnya. Walaupun hidup dengan cabaran penglihatan dan autisme, Fira menunjukkan kecenderungan terhadap muzik sejak usia empat tahun, memiliki daya ingatan luar biasa dan kemampuan menyampaikan perasaan dengan penuh keikhlasan.

Fendy turut menzahirkan penghargaan kepada New Southern Records Sdn. Bhd. yang sudi bekerjasama dalam projek ini, sebagai tanda sokongan terhadap potensi luar biasa anak-anak istimewa. “Saya berbesar hati apabila NSR sudi menjayakan projek ini sebagai simbolik menyokong ketabahan dan potensi anak-anak seperti Fira,” tambahnya.
Melihat bakat yang semakin menyerlah, Fendy kini berhasrat untuk menghasilkan single baharu khas buat Lea Zafira serta merancang menghantarnya ke kelas vokal bagi memperkasa bakat semula jadinya. “Insya-Allah, ini bukan yang terakhir. Saya mahu dia teruskan bakat ini dengan sokongan yang betul,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fendy turut memaklumkan bahawa Lea Zafira akan berpindah ke Sarawak bersama ibunya pada tahun hadapan, namun beliau menegaskan bahawa perjalanan seni anaknya tidak akan terhenti. “Kalau ada jemputan atau acara di Kuala Lumpur, ibunya akan bawa Fira turun dan saya akan uruskan semuanya,” jelasnya.
Versi nyanyian Lea Zafira bagi lagu Azalea telah dilancarkan secara rasmi pada 3 Oktober 2025 dan kini boleh didengari di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Muzik video rasmi lagu ini turut boleh ditonton di saluran YouTube NSR Malay, menampilkan Lea Zafira dalam suasana sederhana namun penuh emosi — satu persembahan tulus dari hati seorang anak buat dunia.
