MENINGKATKAN DAYA SAING DIGITALISASI MELALUI JELAJAH SAYA DIGITAL

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah naungan Kementerian Digital (KD), dengan bangganya menganjurkan siri program Jelajah Saya Digital (JSD) bersempena program Sabah Education Tech 2024 (SET 2024). Acara yang dinantikan ini berlangsung selama tiga hari, bermula dari 2 hingga 4 Ogos, di Sabah International Convention Center (SICC). Dianggarkan seramai 2,500 pengunjung akan menghadiri acara yang penuh dengan inspirasi dan inovasi ini.

Kempen Saya Digital diperkenalkan pada akhir tahun 2020 bagi membantu meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia dalam mendepani ekonomi digital. Inisiatif ini juga sebagai satu usaha dalam mendayaupayakan rakyat untuk menangani kos sara hidup, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri Sabah untuk mencapai objektif Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Melalui visi ekonomi digital, Sabah beraspirasi untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Program JSD menumpukan kepada empat teras utama iaitu Saya Digital Literasi, Saya Digital Bisnes, Saya Digital Freelance, dan Saya Digital Kerjaya di mana ia memberi manfaat kepada golongan sasaran seperti B40, graduan menganggur, warga emas, orang kelainan upaya, pelajar sekolah dan universiti, serta usahawan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).

JSD telah menjelajahi ke 69 lokasi dan berjaya melatih seramai 27,154 peserta dari seluruh negara. MDEC menyasarkan seramai 40,000 peserta untuk menyertai program JSD di 31 lokasi dan ia merupakan platform terbaik untuk memperkukuhkan kemahiran digital di kalangan rakyat, termasuk usahawan. Dengan mengambil peluang yang ada, rakyat dapat memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi digital negara.

Antara program di bawah JSD adalah program eUsahawan dan MyDigitalMaker. Melalui program eUsahawan, MDEC berjaya melatih seramai 564,629 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan usahawan di seluruh negara dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.26 bilion. Manakala menerusi program MyDigitalMaker, ia telah memberi impak kepada lebih 2.5 juta pelajar sekolah di seluruh negara melalui penglibatan dalam aktiviti pembuatan digital.

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program JSD ini, termasuklah sesi perkongsian dan demonstrasi praktikal seperti teknik gerak laju pemasaran digital, robotik di dalam pendidikan serta penggunaan teknologi AI di dalam pekerjaan harian, projek DIY dan aplikasi permainan.

JSD @ Kota Kinabalu telah dirasmikan oleh YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Kota Kinabalu, bersama YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Rakan-rakan strategik MDEC untuk JSD iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TM-Unifi Business dan PDRM turut mengadakan sesi perkongsian dalam acara ini.

Untuk maklumat lanjut dan untuk menyertai siri Jelajah Saya Digital, sila layari https://mdec.my/sayadigital.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *