Media Prima Raih Pengiktirafan Asia di Asian Academy Creative Awards 2025

Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) terus membuktikan keunggulannya di pentas serantau apabila diumumkan sebagai pemenang peringkat kebangsaan (National Winner) di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2025. Media Prima berjaya merangkul kemenangan dalam tiga kategori utama iaitu Best Original Production by a Streamer (Fiction) menerusi drama BRU (Tonton), Best Lifestyle Programme melalui Click To Health Season 4 (8TV), serta Best Animation menerusi Ejen Ali The Movie 2 (Primeworks Studios & WAU Animation). Kejayaan ini sekaligus melayakkan Media Prima bersama barisan pengkarya kreatif tanah air untuk bersaing dengan wakil terbaik Asia Pasifik di Grand Awards dan Gala Finals yang bakal berlangsung di Capitol Theatre, Singapura pada 3 dan 4 Disember 2025.

Drama BRU, arahan Nik Amir Mustapha (Lumatic Films Sdn. Bhd.), dinobatkan sebagai pemenang kategori Best Original Production by a Streamer (Fiction). Naskhah ini menampilkan gandingan pelakon hebat tanah air seperti Shukri Yahaya sebagai Shah, seorang lelaki obses dengan kopi dan kejayaan, serta Siti Hariesa sebagai Hani, barista berbakat yang mencari kebebasan dalam mencipta perisa kopi. Turut menyerlah ialah Amerul Affendi sebagai Ajan, sahabat setia yang menganggap Shah seperti adiknya sendiri. Kisah penuh emosi, cita-cita dan persahabatan ini menjadikan BRU dekat di hati penonton.

Kejayaan turut diraih oleh 8TV apabila Click To Health Season 4 diumumkan sebagai pemenang kategori Best Lifestyle Programme. Program yang dikendalikan oleh Desmond Tey ini mengetengahkan isu-isu kesihatan semasa dengan pendedahan menyeluruh terhadap pelbagai kaedah perubatan moden. Keistimewaan rancangan ini terletak pada pendekatannya yang realistik, apabila penggambaran dilakukan bukan sahaja di bilik pemeriksaan, malah turut melibatkan bilik pembedahan dan bilik kecemasan bagi memberikan perspektif yang lebih mendalam kepada penonton.

Dalam kategori Best Animation, kejayaan disumbangkan oleh Ejen Ali The Movie 2 terbitan Primeworks Studios dan WAU Animation, arahan Usamah Zaid Yasin. Filem animasi penuh aksi ini meneruskan kisah perjuangan Ali dalam misi berisiko tinggi di bawah program elit SATRIA. Ejen Ali The Movie 2 mencatat kejayaan luar biasa dengan kutipan pecah panggung melebihi RM62.5 juta di pawagam Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Kemboja dan Thailand. Filem ini bukan sahaja menjadi animasi nombor satu Malaysia, malah turut mencipta rekod baharu dengan mengatasi semua karya animasi tempatan dan antarabangsa. Lebih membanggakan, ia turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dicalonkan dalam kategori Best Animated Film di Silk Road International Film Festival ke-12 di China baru-baru ini.

Kejayaan di AACA 2025 ini membuktikan komitmen Media Prima untuk terus menghasilkan kandungan yang berkualiti, inovatif dan setanding dengan program antarabangsa, sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada dunia. Sama-sama kita nantikan detik bersejarah pada Malam Gala Anugerah Asian Academy Creative Awards 2025 yang akan berlangsung di Capitol Theatre, Singapura pada 3 dan 4 Disember 2025 untuk mengetahui siapakah yang bakal membawa pulang trofi berprestij tersebut.