Marsha Milan Curi Tumpuan di Malaysia Fest Sydney dengan Aura Borneo

Penyanyi versatil Marsha Milan sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila dijemput khas membuat persembahan di Malaysia Fest yang berlangsung di Tumbalong Park, Sydney pada 22 November lalu. Festival budaya tahunan yang mengumpulkan rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa itu berjaya menarik lebih 20,000 pengunjung sepanjang hari.

Dalam persembahan bertenaga dan penuh emosi, Marsha membawakan lagu-lagu popularnya seperti Hening Rindu dan Cinta yang menerima sorakan gemuruh daripada penonton. Persembahan turut diperkaya dengan lagu-lagu beridentiti Borneo seperti Sumandak Sabah, Pelangi Pasti dan Nalan Nalan, menjadikan kemunculannya antara momen paling hangat diraikan oleh komuniti Malaysia di Sydney.

Marsha meluahkan rasa bangga kerana diberi kesempatan mewakili Malaysia di pentas antarabangsa. “Saya sangat bangga dipilih mewakili Malaysia di Sydney. Melalui album Misompuru serta lagu seperti Cinta dan Hening Rindu, saya berpeluang memperkenalkan keindahan budaya dan muzik negara kita kepada penonton luar,” katanya.

Bagi memastikan persembahan berjalan lancar, Marsha dan pasukannya membuat persiapan rapi dari segi tenaga dan momentum persembahan. Beliau turut mendapat sokongan penari dari Wandie Space Art Performance serta bekerjasama semula dengan Saerah bagi menghasilkan gaya kontemporari-tradisional yang menjadi identitinya.

Penglibatan Marsha dalam Malaysia Fest 2025 bukan sahaja menyerlahkan mutu seni beliau, tetapi juga menegaskan peranannya sebagai wajah budaya Malaysia di pentas antarabangsa. “Detik paling istimewa ialah apabila semua orang menyanyi dan menari bersama. Sokongan seperti itu adalah pencapaian terbesar seorang penyanyi. InsyaAllah, saya harap peluang ini menjadi batu loncatan untuk terus melangkah lebih jauh sama ada melalui persembahan atau karya baharu,” tambahnya.

Menurut CEO MFest, Syahmi Ismail, festival edisi tahun ini membawa misi yang lebih besar. “Penganjuran festival ini adalah simbol sokongan belia dan pelajar Malaysia di Sydney terhadap kempen Visit Malaysia 2026, selain mempromosikan negeri dan budaya kita kepada dunia. Pemilihan artis sangat teliti kerana mereka membawa imej Malaysia. Mereka perlu menjadi ikon seni yang berpengaruh di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Malaysia Fest merupakan antara platform luar negara paling berpengaruh dalam mempromosikan warisan budaya, muzik dan seni Malaysia kepada khalayak global. Tahun ini, acara tersebut tampil lebih meriah dengan penyertaan komuniti Malaysia dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, menjadikannya perayaan budaya terbesar anjuran diaspora Malaysia di Sydney.

Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, layari Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.