MANTERA: Menyusuri Kepercayaan dan Mistik Tradisi Kaum Dusun

Filem seram Mantera membawa penonton mengembara ke dalam dunia mistik kaum Dusun di Sabah, dengan memaparkan amalan tradisi ritual yang jarang diketahui ramai. Filem ini menyorot kisah tentang ‘Bobolian’, seorang bomoh yang memegang peranan penting sebagai penghubung antara dunia manusia dan dunia roh, serta penjaga keseimbangan alam semesta.

Menurut pengarah Mantera, Chester Pang, filem ini terinspirasi daripada amalan tradisi yang semakin dilupakan oleh generasi muda. “Saya ingin membawa kisah Bobolian kepada penonton, kerana tidak ramai yang menyedari betapa pentingnya peranan mereka dalam masyarakat Dusun. Bobolian bukan sekadar seorang bomoh, tetapi juga menjadi pengimbang antara dunia nyata dan dunia ‘kinohiringan’,” ujar Chester.

Mantera menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Syafie Naswip, Namron, Jovenia Jim, Wedylin Batala, dan Larry Noh. Kisah ini berkisar tentang Tana, seorang wanita muda yang mewarisi kemampuan spiritual nenek moyangnya. Apabila roh jahat mengancam, Tana dan Inspektor Zafri bekerjasama untuk menyelesaikan misteri pembunuhan yang melibatkan entiti misterius, Rogon Lupiah.

Kejadian menyeramkan turut berlaku sewaktu penggambaran di lokasi-lokasi mistik seperti Tambunan dan Kota Belud pada Februari 2024. Chester mendedahkan dua insiden mengerikan semasa penggambaran. “Dalam satu babak, pelakon wanita dirasuk sewaktu memanggil roh, namun dapat dikawal oleh seorang guru silat. Kejadian kedua berlaku apabila seorang kru terjatuh ke dalam gaung, mendakwa dirinya ‘ditarik’ oleh sesuatu. Insiden ini disaksikan oleh Syafie dan Namron,” katanya.

Walaupun melalui cabaran dan gangguan mistik, Chester percaya Mantera adalah sebuah filem yang tidak boleh dilepaskan. “Mantera bukan hanya filem seram, tetapi ia juga memperkenalkan budaya kaum Dusun yang jarang dipaparkan di layar perak. Ia menggabungkan elemen seram, budaya, dan mistik yang pasti menarik perhatian penonton,” katanya.

Mantera akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 24 April 2025. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sebuah karya yang penuh dengan misteri, roh, dan kejutan budaya yang menyelami tradisi kuno kaum Dusun.