Bagaimana jika wanita yang selama ini dianggap sebagai musuh akhirnya menjadi satu satunya tempat untuk bergantung, sedangkan kedua duanya terpaksa berkongsi kasih dan tinggal di bawah satu bumbung?
Persoalan tersebut menjadi antara nadi utama Madu Atau Racun, sebuah iQIYI Original yang bakal menemui penonton bermula 14 Ogos 2026.
Membawakan tagline “Satu Rumah. Dua Isteri.”, siri 12 episod arahan Eyra Rahman ini mengetengahkan sebuah kisah romantik yang sarat dengan konflik, emosi dan rahsia. Drama tersebut bukan sekadar berkisar mengenai perebutan kasih sayang dalam perkahwinan poligami, malah menyentuh tema pengorbanan, trauma, pengkhianatan serta hubungan luar biasa yang terbentuk antara dua wanita yang pada awalnya melihat satu sama lain sebagai musuh.

Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam berkata, pihaknya kekal komited untuk menghasilkan dan membawakan lebih banyak karya tempatan yang dekat dengan hati penonton Malaysia.
Menurutnya, sebuah cerita yang baik bukan sahaja mampu menghiburkan, malah boleh mencetuskan perbualan serta mengajak penonton melihat sesuatu perkara daripada perspektif berbeza.
Menerusi Madu Atau Racun, iQIYI mahu membawa sebuah drama yang melangkaui isu poligami dengan memberi tumpuan kepada perjalanan dua wanita yang terpaksa berkongsi kehidupan dan berdepan pelbagai konflik sehingga mengubah persepsi mereka terhadap satu sama lain.
Penonton juga digalakkan mengikuti setiap episod dengan fikiran terbuka kerana perkembangan cerita bakal membongkar sisi baharu setiap watak yang berpotensi mengubah tanggapan awal mereka.
Drama terbitan MIG Production Sdn. Bhd. ini diterajui Aliff Aziz sebagai Adli, Uqasha Senrose sebagai Azura dan Elisya Sandha sebagai Nikita.
Menurut Eyra Rahman, setiap naskhah mempunyai identiti tersendiri yang terbentuk menerusi pendekatan penceritaan dan kekuatan pelakonnya. Walaupun tema kecurangan, poligami dan konflik rumah tangga bukan sesuatu yang asing dalam drama tempatan, beliau percaya setiap karya masih mampu membawa jiwa dan perspektif tersendiri.
Eyra turut menjelaskan bahawa setiap pelakon mempunyai cara berbeza dalam mentafsir sesebuah watak. Perbezaan tersebut membantu membentuk identiti dan keunikan sesebuah karya.
Madu Atau Racun juga tidak bergantung semata mata kepada populariti barisan pelakonnya. Sebaliknya, pihak produksi memberi tumpuan kepada kekuatan jalan cerita serta persembahan setiap pelakon bagi menghasilkan drama yang mampu meninggalkan kesan kepada penonton.
Mengulas mengenai pemilihan Aliff Aziz sebagai Adli, seorang suami yang curang dan berpoligami, Eyra menyifatkan pelakon itu sebagai seorang yang berdisiplin, berbakat dan memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang penggambaran.
Menurutnya, persepsi khalayak terhadap kehidupan peribadi seseorang pelakon tidak mempengaruhi keputusan kreatifnya. Sebaliknya, bakat, disiplin dan profesionalisme ketika berada di lokasi penggambaran menjadi keutamaan.
Elisya Sandha pula tertarik menerima watak Nikita kerana karakter tersebut mempunyai pelbagai lapisan emosi yang mampu mencabar kemampuan lakonannya.
Menurut Elisya, Nikita bukan sekadar watak antagonis. Di sebalik sikapnya terdapat trauma dan emosi yang tidak terungkai, menjadikan karakter tersebut berbeza daripada watak yang pernah dibawakannya sebelum ini.
Madu Atau Racun mengisahkan Azura, seorang isteri yang setia, penyabar dan sentiasa mengutamakan keluarga. Walaupun kehidupannya kelihatan sempurna, Azura memendam kesedihan kerana masih belum dikurniakan cahaya mata selepas bertahun tahun mendirikan rumah tangga bersama Adli.
Kehidupannya berubah apabila Adli, seorang ahli perniagaan berpengaruh tetapi mementingkan diri sendiri, mengambil keputusan untuk berkahwin lagi.
Kehadiran Nikita, seorang wanita muda yang berani, lantang dan penuh misteri, mencetuskan konflik dalam kehidupan mereka. Pertemuan awal antara Azura dan Nikita dipenuhi rasa cemburu, dendam dan persaingan.
Namun keadaan berubah apabila Nikita terpaksa tinggal sebumbung bersama Azura. Hubungan mereka perlahan lahan berkembang apabila kedua duanya mula memahami luka dan pengalaman yang ditanggung masing masing.
Daripada saling membenci, mereka akhirnya menyedari bahawa masalah sebenar mungkin bukan antara mereka, sebaliknya lelaki yang selama ini memanipulasi kehidupan kedua duanya.
Keadaan menjadi semakin tidak terduga apabila Adli mengetahui hubungan rapat yang mula terbentuk antara kedua dua isterinya.
Dengan sentuhan pengarahan Eyra Rahman serta lakonan Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha, Madu Atau Racun menjanjikan sebuah drama yang bukan sahaja mengetengahkan konflik rumah tangga, malah menyelami kekuatan wanita, trauma, pengkhianatan dan ikatan yang terbentuk dalam keadaan paling tidak dijangka.
Madu Atau Racun akan ditayangkan secara eksklusif di iQIYI bermula 14 Ogos 2026, setiap Jumaat dan Sabtu pada jam 9 malam. Drama romantik ini mempunyai 12 episod.










