Singkap Realiti di Sebalik Kemewahan: Malaysia Tribune Lancar ‘Macam Tulah Podcast’ Esok

Logo bulat Macam Tulah Podcast berlatar hitam kuning dengan lakaran mikrofon retro dan slogan macam tulah ceritanya

Pernahkah kita terfikir tentang realiti sebenar di sebalik kehidupan mewah yang sering dipaparkan oleh para usahawan dan pencipta kandungan di media sosial? Bagi merungkai persoalan tersebut, portal berita Malaysia Tribune (MT) bakal melancarkan siaran perdana program terbaharu mereka, Macam Tulah Podcast tepat pada jam 3 petang esok menerusi platform YouTube.

Membawakan slogan yang cukup dekat di hati pendengar, “Macam tulah ceritanya”, program ini membawakan format perbualan santai yang padat dengan pengajaran hidup. Daripada pengalaman pahit saat menghadapi kegagalan sehinggalah detik bangkit membina kejayaan, segala kisah dan cabaran akan dikongsikan secara telus tanpa selindung.

Diterajui oleh gandingan serasi Muzamir Ismail dan Nur Syafiqah Mohd Jemmi, podcast ini mengajak penonton menyelami liku-liku perjalanan yang dilalui para tetamu jemputan. Setiap episod memberi tumpuan kepada silap langkah, pengorbanan serta ketabahan mereka sebelum berjaya menempatkan diri pada tahap hari ini.

Hos Muzamir Ismail dan Nur Syafiqah menemu bual tetamu jemputan di set studio berlatar skrin Macam Tulah Podcast

Berbeza dengan temu bual konvensional yang lebih formal, “Macam Tulah Podcast” yang mengetengahkan suasana perbincangan yang terbuka dan bersahaja. Pendekatan ini membuka ruang kepada golongan muda untuk mengambil inspirasi serta perspektif baharu, khususnya buat mereka yang sedang meneroka laluan dalam dunia perniagaan dan penjenamaan peribadi.

Luangkan masa hujung minggu anda bersama secawan minuman kegemaran untuk menyaksikan siaran sulung ini di saluran YouTube Malaysia Tribune esok pada jam 3 petang. Tunjukkan sokongan anda terhadap penerbitan kandungan tempatan berkualiti dengan melanggan saluran berkenaan serta menekan butang Like dan berkongsi siaran tersebut bersama rakan-rakan.