“LUKA YANG BERDENTUM” – JIMI GABUNG ROCK & ELEKTRONIK DENGAN BERANI

Penyanyi berbakat Jimi kembali dengan single terbaharunya berjudul Selingkuh, sebuah karya yang sarat emosi dan ketulusan jiwa. Lagu ini menggambarkan perjalanan seseorang yang berdepan kekecewaan akibat pengkhianatan, namun akhirnya memilih untuk bangkit demi harga diri dan ketenangan. Menandakan single keduanya bersama Alternate Records, Selingkuh membuktikan kematangan Jimi dalam mengekspresikan perasaan melalui muzik yang semakin berevolusi.

Dicipta oleh Seow Seng Tack, Ja’a dan Glowrush, lagu ini membawa elemen rock dan elektronik yang digabungkan dengan begitu berani, memberikan nuansa segar tanpa mengorbankan semangat rock klasik yang menjadi identiti Jimi. Liriknya pula tajam dan realistik, menyingkap kejujuran pahit dalam hubungan yang dilanda kepura-puraan antaranya melalui bait seperti “duit habis kau sapu” dan “hanya dengan selamba” yang memberi kesan emosi yang kuat.

Bagi Jimi, peluang membawakan lagu ini merupakan satu penghormatan besar. “Saya berikan sepenuh tenaga dan jiwa untuk setiap notanya. Lagu ini bukan hanya tentang kecurangan, tetapi tentang keberanian untuk jujur dengan diri sendiri bila kita sedar bahawa terus bertahan hanya akan menyakitkan,” katanya.

Proses rakaman vokal mengambil masa sekitar empat hingga lima jam, namun Jimi mengakui ada bahagian yang mencabar untuk mencapai tenaga dan vibe yang diinginkan. “Cabaran terbesar lagu ni ialah nak dapatkan rasa rock tapi tetap kekalkan identiti saya. Saya perlu lebih agresif dari segi vokal dan tenaga, namun dalam masa sama kekal menjaga emosi lagu tersebut,” jelasnya.

Menurut komposer Seow Seng Tack, Ja’a dan Glowrush, Selingkuh tercipta dalam suasana yang unik dihasilkan ketika sambutan Tahun Baharu Cina, dengan komunikasi antara mereka hanya melalui aplikasi WhatsApp sebelum proses rakaman akhir bersama Jimi dijalankan. Gabungan spontan dan kejujuran inilah yang menjadikan lagu ini lebih istimewa.

Dengan suntikan elemen elektronik moden dalam irama rock bertenaga, Jimi membawa kelainan yang menunjukkan keberaniannya keluar dari zon selesa. “Mungkin orang belum kenal sisi lain saya yang lebih garang dan bersemangat. Selingkuh menunjukkan siapa saya sebenarnya jujur, berani dan penuh tenaga,” ujarnya.

Lebih daripada sekadar lagu putus cinta, Selingkuh adalah simbol kejujuran, keberanian dan pembebasan diri daripada hubungan yang penuh kepalsuan. “Pendengar patut dengar lagu ni sebab ia bawa emosi yang tulus dan realistik. Ia bukan sekadar hiburan, tapi pengalaman jiwa,” kata Jimi menutup bicara.

Selingkuh kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify.
Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti mereka di media sosial:
Facebook: @alternate.my_ , Instagram: @alternate.my_ ,TikTok: @alternate.rt_