Industri muzik tempatan kini dirancakkan dengan kemunculan kumpulan boygroup M-Pop baharu, Lucky Nerds, yang baru sahaja melancarkan single debut mereka berjudul “Lucky Nerds (Anthem)”. Lagu ini membawa mesej keyakinan diri, memperkenalkan identiti unik kumpulan ini serta menyuntik nafas baharu dalam dunia muzik tanah air.
Siapakah Lucky Nerds?
Lucky Nerds terdiri daripada empat anak muda berbakat besar: M.O., Faiz, E.J., dan Ajim. Dengan bakat dan kekuatan yang berbeza, mereka menyatukan kreativiti untuk mencipta fenomena baharu melalui muzik, tarian, dan seni persembahan.
Menurut ketua kumpulan, M.O., nama Lucky Nerds bukan sekadar gelaran biasa, “Kami memang ‘nerds’ – bukan hanya ulat buku, tetapi individu yang mendalami minat kami dengan penuh dedikasi. Saya sendiri telah mencipta muzik selama sembilan tahun. Faiz pula seorang pakar tarian moden kontemporari, Ajim menguasai tarian tradisional, manakala E.J. hebat dalam muzik rock. Setiap daripada kami membawa keunikan tersendiri ke dalam kumpulan ini. ‘Lucky’ adalah doa agar kami berjaya dalam industri ini,” jelasnya.
Kisah penubuhan Lucky Nerds bermula daripada usaha M.O. yang merekrut setiap ahli dengan penuh strategi meskipun berdepan cabaran. Namun, keempat-empat mereka akhirnya bersatu sebagai sebuah kumpulan yang mantap.
Single Debut: “Lucky Nerds (Anthem)”
Lagu “Lucky Nerds (Anthem)” adalah sebuah karya segar ciptaan M.O. sendiri yang turut bertindak sebagai penulis lirik dan komposer. Lagu ini menggabungkan genre pop, trap, dan boombap, mencerminkan keyakinan diri dan kekuatan kumpulan ini menghadapi kritikan negatif.
“Lagu ini menceritakan siapa kami dan bagaimana kami menepis segala keraguan orang ramai. Kami mahu membuktikan bahawa Lucky Nerds adalah kumpulan yang patut diberi perhatian,” kata Faiz.
Selain single debut, Lucky Nerds berazam untuk menghasilkan lebih banyak karya dalam pelbagai genre seperti R&B, pop, balada, dan rock. Mini album yang sedang dalam perancangan ini bakal menjadi manifestasi kepelbagaian identiti muzik mereka.
“Kami mahu membawakan sesuatu yang unik. Setiap daripada kami mempunyai minat muzik berbeza – saya meminati hip hop, Faiz dengan R&B, Ajim dengan pop, dan E.J. dengan rock. Semua elemen ini akan digabungkan untuk menghasilkan sesuatu yang segar,” tambah M.O.
Perjalanan Lucky Nerds ke arah debut bukanlah mudah. Lagu “Lucky Nerds (Anthem)” telah siap sejak 2023, tetapi pelancarannya hanya dapat dilakukan sekarang. Mereka juga berdepan cabaran seperti perubahan koreografi pada saat akhir dan isu teknikal semasa penggambaran muzik video.
Namun, setiap halangan ditempuhi dengan semangat positif. “Cabaran ini menguatkan kami sebagai sebuah kumpulan,” ujar E.J.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ACE Talents, Mdm. Azuein Alonto, Lucky Nerds adalah bukti bakat tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Setiap ahli kumpulan membawa keunikan tersendiri, dari mencipta muzik hingga menguasai pelbagai bahasa. Kami yakin Lucky Nerds mampu mencipta impak besar dalam industri muzik,” katanya.
Lucky Nerds bercita-cita menghidupkan semula era kegemilangan kumpulan pop Malaysia seperti KRU dan Ruffedge. Mereka berharap karya-karya mereka dapat dikenali dan diterima luas oleh peminat muzik tempatan. Mereka juga menyasarkan pentas besar seperti Big Stage untuk mengembangkan lagi nama mereka. “Kami mahu pendengar mengenali kami melalui setiap lagu yang kami hasilkan,” kata Ajim.
Single “Lucky Nerds (Anthem)” kini tersedia di platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer, dan YouTube Music. Muzik video rasmi single ini pula boleh ditonton di saluran YouTube ACE Talents.
Ikuti perjalanan dan perkembangan Lucky Nerds di media sosial rasmi mereka. Jangan ketinggalan untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan seni mereka yang menjanjikan kelainan!