Langkah Kanan Luqman Hafidz: Dari Lensa Kamera ke Kerusi Pengarah, Suntik Dimensi Spiritual dalam Keramat Gunung Jerai

Fenomena filem seram tempatan terus mencatatkan perkembangan memberangsangkan apabila naskhah terbaharu berjudul Keramat Gunung Jerai bakal menemui penonton pada 8 Julai 2026, sekali gus menambah satu lagi karya dalam gelombang popular genre berkenaan. Namun, filem terbitan Lumatic Films ini tampil dengan pendekatan berbeza apabila tidak hanya bergantung kepada elemen seram konvensional, sebaliknya mengangkat naratif psikologi dan spiritual yang lebih mendalam, berlatarkan Gunung Jerai yang sarat dengan nilai sejarah serta interpretasi masyarakat. Lebih menarik, karya ini turut mencipta sejarah tersendiri sebagai Tonton Originals pertama yang diperkenalkan melalui model Pay-Per-View (PPV) atau Transactional Video on Demand (TVOD), menandakan perubahan signifikan dalam landskap pengedaran kandungan digital tempatan.

Menjadi tumpuan utama, pelakon Luqman Hafidz melakar langkah besar dalam kerjaya seninya apabila buat pertama kali bergelar pengarah, menerusi sebuah projek yang sudah melalui proses pembangunan selama dua tahun bersama pengarah tersohor, Nik Amir Mustapha. Kolaborasi kreatif itu bukan sahaja membentuk asas kukuh kepada skrip yang dikembangkan oleh Hadi M. Nor, malah turut memberi keyakinan kepada pihak produksi untuk menyerahkan tanggungjawab pengarahan kepada Luqman. Menurut Luqman, pengalaman berguru dan berdiskusi secara dekat bersama Nik Amir menjadi antara detik penting yang membentuk visi pengarahan beliau, selain sokongan daripada Lumatic Films dan platform Tonton yang membuka ruang untuk percubaan berani ini.

Dari sudut penceritaan, Keramat Gunung Jerai tidak cuba menonjolkan mitos khurafat semata-mata, sebaliknya membawa perspektif berbeza dengan mengangkat nilai spiritual dan hakikat sejarah lokasi tersebut yang sering disalah tafsir dalam naratif media sosial. Pendekatan ini diperkukuhkan lagi dengan latar psikologi manusia yang menjadi teras cerita, termasuk konflik hubungan tiga sahabat yang terganggu akibat ritual terlarang pada masa lalu. Dengan latar belakang Luqman dalam latihan Neuro-Linguistic Programming (NLP), elemen emosi dan psikologi karakter dibina dengan lebih halus, menjadikan perjalanan naratif lebih realistik dan dekat dengan pengalaman manusia sebenar.

Sebagai pengarah yang juga pelakon berpengalaman, Luqman menekankan pendekatan acting treatment dan pembangunan karakter sebagai tunjang utama pengarahan, menjadikan proses di set sebagai ruang kolaborasi kreatif antara pelakon seperti Iedil Putra, Sara Ali, Cristina Suzanne dan Niezam Zaidi. Gabungan pelakon berpengalaman serta pendekatan pengarahan yang menekankan kejujuran emosi menjadikan filem ini bukan sekadar hiburan seram, tetapi sebuah karya yang mengajak penonton menilai semula makna pilihan, tindakan dan akibat dalam kehidupan.

Saksikan Keramat Gunung Jerai secara eksklusif di platform Tonton bermula 8 Julai 2026 menerusi Pay-Per-View (PPV) pada harga hanya RM12.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama dan rancangan kegemaran anda, layari Facebook, X, YouTube dan Instagram di @tontonmy.