KUANTAN BUKA TIRAI JELAJAH AJL40, DEKATKAN ARTIS DENGAN PEMINAT

Bahang sambutan ulang tahun ke-40 Anugerah Juara Lagu (AJL40) kini semakin dirasai apabila Kuantan dipilih sebagai destinasi pertama bagi siri Meet & Greet Yang Ke-40 yang bakal berlangsung pada 20 Jun ini. Program jelajah khas ini merupakan antara inisiatif istimewa sempena meraikan empat dekad penganjuran anugerah muzik paling berprestij negara, sekali gus membawa pengalaman AJL lebih dekat kepada peminat di seluruh Malaysia.

Buat pertama kalinya dalam sejarah AJL, para finalis akan turun padang bertemu peminat menerusi siri jelajah yang merangkumi beberapa lokasi terpilih. Inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan artis kegemaran mereka, malah menjadi platform bagi menghargai sokongan berterusan peminat yang telah bersama AJL sepanjang 40 tahun perjalanan anugerah tersebut.

Hentian pertama di Kuantan City Mall bakal menyaksikan kehadiran beberapa finalis AJL40 termasuk Wani Kayrie menerusi lagu Cak Cak Cekuk, Ryenald Guntabid dengan Lumangad Oku Dika, kumpulan K.O.I yang mempertaruhkan Tiwikarma, serta kolaborasi Kmy Kmo, Luca Sickta dan SalamMusik menerusi lagu Ke Mana Ni. Acara yang berlangsung dari jam 12.00 tengah hari hingga 4.00 petang itu turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti sesi autograf, fotografi bersama artis, permainan interaktif serta peluang memenangi hadiah eksklusif.

Selain sesi ramah mesra, pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan khas daripada para finalis yang bakal menghangatkan suasana dan memberikan gambaran awal kemeriahan pentas AJL40. Kehadiran mereka dijangka menarik perhatian peminat muzik tempatan yang ingin melihat sendiri bakat dan karisma para peserta yang bakal bersaing pada malam kemuncak anugerah nanti.

Selepas Kuantan, siri Meet & Greet Yang Ke-40 akan meneruskan jelajah ke Johor Bahru pada 18 Julai 2026 sebelum menutup tirainya di Kuala Lumpur pada 25 Julai 2026. Siri jelajah ini diharap dapat mengeratkan hubungan antara peminat dan penggiat seni selain menyemarakkan lagi keterujaan menjelang AJL40.

Program ini dibawakan oleh McDonald’s Malaysia dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia dengan Volvo sebagai rakan kerjasama. Menerusi kempen Selamat, Volvo Car Malaysia turut memanfaatkan platform ini untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan jalan raya menerusi mesej “Selamat itu Volvo & Volvo itu Selamat”.

Dengan pelbagai aktiviti menarik yang sedang dirancang termasuk Muzik Lab dan beberapa program khas lain, perjalanan menuju AJL40 dijangka menjadi antara sambutan paling meriah dalam sejarah penganjurannya. Orang ramai disaran mengikuti perkembangan terkini menerusi media sosial rasmi TV3 dan menggunakan tanda pagar #ROADTOAJL40 serta #GENERASISELAMANYAJUARA bagi menyertai kemeriahan sambutan ini.