Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang dijadualkan berlangsung pada 19 September 2026 di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur, terpaksa dibatalkan.
Pembatalan itu dimaklumkan oleh DHYAH PRODUCTION dengan kerjasama INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada 17 Ogos 2026.
Menurut penganjur, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira kendala teknikal dalaman serta keadaan semasa yang tidak memungkinkan konsert berkenaan diteruskan seperti yang dirancang.
Wakil Penganjur DHYAH PRODUCTION, Mahbub Dermawan, berkata pihaknya amat kesal dengan keputusan tersebut dan memohon maaf kepada para peminat, penaja, pihak pengurusan Radja serta semua pihak yang telah memberikan sokongan.
“Kami memahami kekecewaan para peminat yang telah menantikan kehadiran Radja di Kuala Lumpur. Keputusan ini dibuat dengan penuh berat hati dan setelah mengambil kira pelbagai aspek berkaitan penganjuran. Kami amat menghargai segala sokongan dan kefahaman yang telah diberikan,” katanya.
Sehubungan itu, pihak penganjur akan menghubungi semua pembeli tiket menerusi e-mel bagi memaklumkan proses pemulangan wang atau refund.
Pemulangan wang boleh dibuat melalui platform penjualan tiket rasmi di myticket.asia. Pembeli tiket dinasihatkan untuk menyemak e-mel masing-masing serta menyimpan bukti pembelian dan maklumat transaksi bagi tujuan proses refund.
DHYAH PRODUCTION dan INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang proses penganjuran Konsert Revolusi Radja 25 Tahun.












