
Penyanyi terkenal Nourul membuat keputusan penting demi memastikan konsert sulungnya berlangsung dengan kualiti terbaik apabila mengumumkan penukaran tarikh bagi konsert For You Nourul.
Konsert yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 17 April 2026 kini ditunda ke 30 Mei 2026. Perubahan ini dibuat bagi memberi pengalaman yang lebih sempurna kepada peminat serta memastikan setiap aspek penganjuran berada pada tahap optimum.
Dengan tarikh baharu ini, Nourul bakal bertemu peminat dalam suasana yang lebih meriah dan selesa, sekali gus menjadikan malam tersebut sebagai satu momen istimewa selepas lebih tiga dekad beliau mewarnai industri muzik tanah air.
Menurut pihak penganjur, ND Entertainment, keputusan untuk menjadualkan semula konsert dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor penting termasuk menghormati dua perayaan utama umat Islam iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Selain itu, pemilihan tarikh 30 Mei 2026 juga dilihat lebih sesuai kerana memberi ruang kepada peminat untuk menyusun semula perbelanjaan selepas musim perayaan. Penganjur turut berharap konsert ini akan menjadi satu bentuk keraian khas yang lebih bermakna buat Nourul dan para peminat.
Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Binti Ab. Wahab turut menjelaskan bahawa perubahan tarikh ini memberi kelebihan dari segi perancangan produksi serta penyusunan barisan artis jemputan. Ia juga selari dengan penstrukturan semula pengurusan konsert selepas penganjuran kini diambil alih oleh syarikat miliknya sendiri.

Walaupun berlaku perubahan tarikh, peminat masih boleh mendapatkan tiket mengikut kategori harga yang telah ditetapkan iaitu RM198 (Sehati Sejiwa), RM298 (Cinta Azali), RM328 (Keliru), RM388 (Kerana Terluka) dan RM6,000 bagi VIP Box.
Konsert For You Nourul akan berlangsung pada 30 Mei 2026, jam 8.00 malam di Zepp Kuala Lumpur. Tiket boleh didapati menerusi platform Ticket2U.
Malam tersebut dijangka menjadi sebuah pengalaman penuh emosi, nostalgia dan cinta, khas buat peminat yang telah lama menantikan konsert solo Nourul. Ia bukan sekadar persembahan, tetapi satu perjalanan muzik yang menghimpunkan kenangan sepanjang kerjaya seninya.