Malam yang memukau! Itulah yang dapat digambarkan tentang konsert luar biasa ‘ADA AFGAN & LYODRA: LIVE IN KUALA LUMPUR’ yang berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur.
Konsert anjuran Kharisma Music (KM) bersama jenama kosmetik terkenal Alha Alfa ini disambut meriah oleh ribuan peminat yang hadir dari seluruh Malaysia untuk menyaksikan persembahan dua bintang besar dari Indonesia, Afgan dan Lyodra.
Kata Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, Ahmad Jeffny, menzahirkan rasa terharunya atas sambutan hangat yang diterima. “Kami amat berterima kasih kepada peminat yang hadir dari jauh untuk bersama kami di Kuala Lumpur malam ini. Kejayaan konsert ini tidak akan tercapai tanpa sokongan mereka serta dedikasi seluruh warga kerja kami,” katanya.
Konsert ini dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh penyanyi muda Ash Fasryll, yang mencuri tumpuan hadirin dengan nyanyian lagu ‘Nyaman’ oleh Andmesh Kamaleng. Persembahan Ash berjaya memikat hati penonton, yang tidak menyangka bakat luar biasa beliau dalam persembahan pentas secara langsung.
“Saya sangat bersyukur diberikan peluang oleh Kharisma Music untuk membuka konsert ini. Ini adalah pengalaman besar buat saya,” ujar Ash yang baru-baru ini mencapai sejuta penstriman di Spotify.
Acara kemuncak pada malam tersebut pastinya persembahan duo hebat, Afgan dan Lyodra, yang berjaya memukau hadirin dengan suara merdu dan vokal mantap mereka. Afgan membuka tirai persembahannya dengan beberapa lagu hit seperti ‘Jodoh Pasti Bertemu’ dan ‘Kamu Yang Ku Tunggu’, memeriahkan suasana dengan setiap nada yang dinyanyikan.
Tidak ketinggalan, Lyodra mempersembahkan lagu-lagu popularnya seperti ‘Sang Dewi’ dan ‘Tak Dianggap’, menyempurnakan malam itu dengan gabungan suara soprano yang unik dan mempesona.
“Saya rasa sangat teruja dapat beraksi di hadapan peminat Malaysia. Kuala Lumpur sentiasa memberi saya sambutan yang hangat,” kata Afgan seusai persembahan. Lyodra pula melahirkan rasa terima kasihnya kepada peminat yang tidak putus menyokong kariernya. “Saya sangat berbesar hati kerana dapat beraksi di sini. Ini pengalaman yang tidak akan saya lupakan,” tambahnya.
Dari awal hingga akhir, konsert ini membawa penonton dalam perjalanan emosi melalui lagu-lagu penuh makna daripada kedua-dua bintang ini. Afgan dan Lyodra saling melengkapi dalam setiap persembahan, menjadikan malam tersebut sebuah pengalaman yang sukar dilupakan.
Dengan sistem bunyi yang cemerlang dan pencahayaan yang memukau, penonton terbuai oleh persembahan duo ini yang tidak hanya mempamerkan bakat vokal mereka tetapi juga keakraban mereka dengan peminat.
Selain kejayaan konsert ini, Kharisma Music turut mengumumkan pelan besar mereka untuk tahun 2024. Menurut En. Ahmad Jeffny, syarikat tersebut merancang untuk menganjurkan lebih banyak konsert, termasuk membawa beberapa siri konsert antarabangsa ke Indonesia dan Singapura.
“Melihat kejayaan konsert malam ini, kami sangat teruja untuk membawa lebih banyak konsert hebat kepada peminat di Malaysia dan di luar negara. Kami yakin 2024 akan menjadi tahun yang lebih besar untuk industri muzik,” tambah beliau.
Konsert ADA AFGAN & LYODRA: LIVE IN KUALA LUMPUR bukan sahaja berjaya memberi kenangan manis kepada peminat tetapi juga membuktikan sekali lagi keupayaan Kharisma Music dalam menganjurkan konsert berkelas dunia.